TINJAU..Arifin berbual bersama penduduk di kampung kawasan Tali Air yang terjejas dengan banjir kali ini.
MEMBAKUT : Beberapa buah kampung dan kawasan rendah di daerah ini dilanda banjir antara 0.5 meter hingga 1.5 meter, berikutan hujan berterusan di kawasan hulu sejak petang kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Arif berkata antara kampung kampung yang mula dinaiki air ialah kampung Baitan,Tali Air,Pekan Lama Membakut dan Jambatan Baru.
” Keadaan masih terkawal dan kita menjangka jika hujan tidak berterusan keadaan air akan surut” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan kawasan yang terlibat dengan banjir ini.
Menurut Arifin setakat ini belum ada penduduk yang dipindahkan bagaimanapun jawatankuasa bencana alam daerah sentiasa memantau perkembangan ini dari masa ke semasa dibimbangi jika hujan berterusan banjir besar akan berlaku.
” Walaupun banjir masih terkawal namun saya meminta penduduk kampung terlibat sentiasa berwaspada dan memantau keadaan cuaca jika berterusan hujan banjir besar akan berlaku dan mereka perlu mengikut arahan pihak berkuasa.
Tambah Arifin pihak jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah Membakut juga turut memantau keadaan banjir ini dan sekiranya hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari mendatang pusat pemindahan sementara yang terletak di Salagon akan diaktifkan .

Turut meninjau keadaan banjir ini Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Haji Alamin yang melawat kampung Jambatan Baru salah sebuah kampung yang terlibat dalam banjir ini.
Mohamad berkata beliau telah meminta Penolong Pegawai Daerah Kecil Membakut melakukan pemantauan berterusan di sekitar kawasan terjejas untuk bersedia dengan sebarang kecemasan.
“Pihak berkuasa bomba, APM, polis, Rela dan Pejabat Daerah akan terus membuat pemantauan di semua lokasi banjir” katanya
Beliau juga berharap semua pihak sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya keadaan banjir berterusan. -Borneo Daily Bulletin



