31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Memasyarakatkan Koperasi, Kedai Coop Mart terus berkembang di DUN Lumadan

Haji Ruslan dalam Perasmian Kedai Coop Mart, Koperasi Bersatu kampung Suasa Beaufort.

BEAUFORT: “Lumadan Sejahtera” terus menjadi slogan yang dilaungkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Tn. Hj. Ruslan Muharam dalam mewujudkan lebih banyak Kedai Coop Mart di kawasan Lumadan.

Hj. Ruslan menzahirkan kesyukurannya kerana Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah berjaya mengadakan ‘Program Penggalakan Koperasi Baharu’ di kampung Lumadan, Beaufort.

“Saya mahukan para hadirin terutama golongan wanita dan belia di kawasan ini, mendapat ilmu dan manfaat daripada program ini.” kata Hj. Ruslan.

Perasmian pembukaan Kedai Coop Mart, milik Koperasi Bersatu kampung Suasa Beaufort dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan ini merupakan hasil kerjasama strategik iaitu “Perjanjian Penyewaan” pada 13 Januari 2021 dengan Koperasi Cahaya Lumadan Berhad.

“Janji perlu dikota dan untuk makluman semua, kedai Coop Mart yang dirasmikan hari ini merupakan yang kedua di kampung Lumadan, katanya.

Objektif pelaksanaan Coop Mart ini juga untuk menyedia dan meningkatkan aksesibiliti dan ketersediaan barangan kepada pengguna dengan harga berpatutan dan menyediakan lebih banyak pilihan barangan kepada pengguna (barangan gantian) dan membantu rakyat dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup.

“Dengan adanya Kedai Coop Mart, ia dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat yang berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 di DUN Lumadan, dalam menghadapi kesukaran pandemik Covid-19 ini.

“Koperasi adalah satu entiti yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai penyumbang ekonomi negeri ini”, kata Hj. Ruslan yang merupakan Pengerusi Koperasi Bersatu kampung Suasa Beaufort Berhad.

Syabas dan tahniah kepada seluruh anggota Koperasi Bersatu Suasa Beaufort Berhad yang terus komited dan bersemangat memikul tanggungjawab dan menggerakkan koperasi.

Justeru saya menyeru agar Koperasi-koperasi yang lain juga akan menjadi lebih kreatif, berinovasi, berani menceburi perniagaan berskala besar, merebut peluang-peluang perniagaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan inovasi dan juga ke arah kesejahteraan rakyat.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, anggota lembaga koperasi, masyarakat setempat serta wakil-wakil agensi kerajaan yang hadir ke program ini.

“Dengan ini, besarlah harapan saya agar lebih banyak koperasi Di daerah Beaufort terus memainkan peranan untuk merancakkan ekonomi setempat secara khususnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN