34 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 28, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Pengibaran bendera..memupuk semangat patriotisma di kalangan kanak-kanak

MEMUPUK semangat patriotik sejak di bangku sekolah mampu menyemai semangat patriotik agar hidup sebati dalam diri kanak-kanak bak kata pepatah Melayu Melentur Buluh, Biarlah Dari Rebungnya. Kanak-kanak ibarat rebung yang mudah dilentur. Pada peringkat usia sebegini, proses kognitif dalam minda mereka sedang aktif berkembang.

Masyarakat sudah tentu menghargai guru yang mempunyai peranan penting dalam usaha menyemai semangat patriotik dalam jiwa anak-anak semenjak mereka masih kecil. lni disebabkan para guru sentiasa menyelitkan dan menekankan sifat-sifat patriotik dalam kelas serta mendorong kanak-kanak melahirkan perasaan bangga, syukur terhadap negara dan cinta akan tanah air.

Setiap tahun menjelang bulan kebangsaan, sekolah biasanya akan mengadakan berbagai program bagi menyambut hari kebangsaan seperti mengibarkan jalur gemilang, pertandingan nyanyian lagu patriotik, nyanyian Lagu Negara Ku ketika perhimpunan dan banyak lagi.

Di kelas, guru-guru juga sentiasa berusaha menerapkan semangat patriotik semasa mengajar terutama dalam subjek Sejarah seperti Sejarah Tanah Melayu dalam proses mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu iaitu penerapan unsur-unsur patriotik melalui medium Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Islam/Moral iaitu melahirkan akhlak yang selari dengan semangat patriotik.

Pengibaran Jalur Gemilang di kalangan kanak-kanak merupakan lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisma dalam jiwa setiap rakyat Malaysia demi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Memegang erat tiang bendera…menjadi simbol perpaduan kaum

Baru-baru ini satu majlis pelancaran bulan kebangsaan telah diadakan di tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Nalapak Ranau. Seperti pada setiap kali menjelang bulan Ogos, Unit Kokurikulum akan melancarkan satu program khas iaitu mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri bagi memupuk semangat patriotik di kalangan kanak-kanak.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum sekolah tersebut, Zulfazly Rashid, Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini adalah Keluarga Malaysia Teguh Bersama iaitu tema yang sama tahun lepas dan dikekalkan untuk tahun ini seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multmedia.

“Kita masih mengekalkan aktiviti seperti tahun sebelum ini sebagai pengisian bulan kebangsaan iaitu pengibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri di sepanjang tembok jalan dan bangunan sekolah, pertandingan mewarna bendera, nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi sajak, menulis esei dan peragaan pakaian etnik di Malaysia,” jelas Zul.

Sementara itu Guru Besar, Jaipin Kimburon ketika menyempurnakan gimik pelancaran bulan kebangsaan tersebut menyeru seluruh warga PIBG dan sekitar agar mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing termasuk di bangunan-bangunan pejabat, gedung-gedung perniagaan dengan penuh bangga, tertib dan hormat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang sebagai tanda rasa cinta kepada negara.

Salah seorang murid, Vanabela (Tahun 5) berkata suasana pelancaran dan pengibaran bendera pada hari ini amat menyeronokkan.

“Jika berpeluang saya ingin menyertai pertandingan mewarna dan peragaan pakaian,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN