Mohd Nizam menerima cenderahati Dari Jainudin sempena Kunjungan Hormat tersebut.
LABUAN: Persatuan Penggiat Media Labuan mengadakan lawatan ke Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Kuala Lumpur.
Delegasi seramai 10 pengamal media Labuan itu diketuai oleh Pengerusinya Jainudin Djimin.
Turut serta dalam lawatan tiga hari itu ialah Pengarah Jabatan Penerangan Labuan yang juga Penasihat Persatuan Penggiat Media Labuan, Azman Sipan dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Sidek.
Lawatan yang julung kalinya diadakan itu dianjurkan oleh MAIWP Labuan sempena Sambutan 50 tahun MAIWP.
Antara lain lawatan itu bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operasi dan inisiatif MAIWP dan juga PPZ.
Dalam lawatan itu Media Labuan turut berkesempatan mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahaya yang di bangunan Menara MAIWP.
Pada kunjungan itu, Mohd Nizam telah memberikan taklimat mengenai pembinaan Menara MAIWP setinggi 24 tingkat bernilai RM 264 juta yang siap sepenuhnya pada Ogos 2023.
Katanya bangunan yang didirikan diatas tanah seluas 0.2 hektar itu menyerupai lima pucuk rebung sebagai tanda simbolik lima Rukun Islam.
Sementara itu katanya, peranan utama MAIWP termasuklah Pengurusan Zakat, Wakaf, pembangunan modal insan, Pengurusan hartanah dan juga pelaburan.
“MAIWP juga berperanan untuk mengurangkan kemiskinan dikalangan asnaf di Wilayah Persekutuan melalui pelbagai skim bantuan yang menelan belanja lebih RM1 bilion setiap tahun” katanya.
Jelasnya, pada tahun ini sebanyak RM 1.6 bilion telah diperuntukan wang Zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf di tiga Wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Untuk Labuan MAIWP setiap tahun menyalurkan RM120 juta menerusi 38 skim bantuan yang disediakan MAIWP berbanding hasil kutipan Zakat Labuan pada tahun ini RM15 juta”katanya.