Nor Rashidi (tengah), Profesor Dr. Shamsul Bahari (dua kanan), Imbran (kiri) dan Nur Iman (kanan) bergambar kenangan bersama pelajar yang menjayakan Program Maybank Global CR Day 2026: “Cahaya Future Ready”
LABUAN: Maybank International Labuan Branch dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL telah menganjurkan Program Maybank Global CR Day 2026 yang diadakan di Dewan Theatrette, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada Sabtu.
Program yang berlangsung sehari itu bertujuan memberi pendedahan serta motivasi kepada pelajar sekolah menengah mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar Cawangan Maybank International Labuan, Nor Rashidi Mohammad, Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Imbran Yunus serta Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal.
Program itu dijayakan 40 pelajar Tingkatan 5 dari lapan buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara pengisian utama ialah sesi interaktif berkaitan saluran dan cara memohon ke institusi pengajian tinggi, termasuk Foundation/Diploma UMS, Matrikulasi, Form 6, Institut Perguruan Guru (IPG) dan Technical and Vocational Education and Training (TVET).
Selain sesi motivasi dan perkongsian pengalaman, peserta turut dibawa melawat sekitar kampus UMSKAL bagi memberi gambaran sebenar kehidupan universiti.
Dalam semangat tanggungjawab sosial korporat, pihak Maybank turut menyumbangkan dana kepada Dapur Siswa UMSKAL yang disampaikan Nor Rashidi kepada Prof. Dr. Shamsul Bahari sebagai inisiatif membantu pelajar B40 di kampus.
Program ini menjadi platform strategik memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan pendidikan tinggi, sekaligus menyemai semangat kesukarelawan serta kesiapsiagaan pelajar menghadapi masa depan yang lebih cerah.



