Mayat pesakit Covid-19 ‘terkandas’ dalam trak sejuk beku

NEW YORK – Mayat hampir 700 pesakit koronavirus (Covid-19) di New York, Amerika Syarikat (AS) pada musim bunga lalu masih ditempatkan di dalam trak sejuk beku.

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kebanyakan daripada keluarga pesakit tidak berkemampuan untuk melakukan upacara pengebumian dengan sempurna atau waris mereka gagal dikesan.

“Kebanyakannya mayat tidak dituntut kerana masalah kewangan dihadapi waris keluarga mereka. Sebahagian waris juga tidak dimaklumkan dengan segera tentang kematian ahli keluarga mereka,” lapor WSJ lagi.

Difahamkan, ‘bilik mayat’ sementara itu mula digunakan sejak April lalu apabila kota metropolitan itu berdepan langkah lockdown dan lonjakan kes jangkitan serta kematian yang luar biasa.

Pada April lalu, Datuk Bandar, Bill de Blasio juga menyatakan pengebumian secara beramai-ramai juga tidak dapat dilakukan kerana New York mempertimbangkan penggunaan kubur sementara.

Bagaimanapun, ia tidak dapat menampung jumlah kematian harian yang meningkat pada masa tersebut.

Sementara itu, Gabenor New York, Andrew Cuomo memberitahu, kebanjiran pesakit di hospital juga telah melonjak lebih 120 peratus sejak tiga minggu lalu selepas ancaman wabak itu semakin teruk di AS. – Agensi