Mayat dipercayai lelaki ditemukan terapung di paya bakau Sungai Keling

Mayat dipercayai lelaki ditemukan terapung di paya bakau Sungai Keling

21/09/2021 Off By Jainudin Djimin

ANGGOTA Polis cuba membawa keluar mayat yang terapung   di Paya Bakau SK 33 Kampung Sungai Keling.

LABUAN: Mayat dipercayai seorang lelaki   yang hampir mereput  ditemukan terapung di Paya Bakau   SK 33 Kampung Sungai Keling, petang Selasa. 

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, mayat  dipercayai seorang lelaki berdasarkan rupa  fizikal ditemukan  oleh  orang awam  kira-kira jam 2.30 petang.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam, pihak polis telah pergi ketempat kejadian  dan mendapati terdapat mayat sedang terapung dalam keadaan mereput disyaki  seorang lelaki berdasarkan  rupa fizikal, ”  katanya dalam satu kenyataan di sini.

TERAPUNG….mayat dipercayai seorang lelaki yang ditemui terapung  oleh orang awam pada petang Selasa.

Beliau berkata, setakat ini, pihak polis mengklasifikasi kes sebagai laporan Kes Kematian Mengejut (SDR) sehinggalah laporan bedah siasat diperolehi.

 Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat.

“Pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan mana-mana orang atau ahli keluarga dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara di atas agar segera memaklumkan kepada balai polis yang berdekatan” jelasnya lagi.