Pegawai dari JAPEN Sabah bergambar kenangan bersama wakil Maxim.
PENAMPANG : Penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim Malaysia (Maxim) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah bagi memperkasakan penyampaian maklumat.
Pengurus Pembangunan Maxim Sabah, Nazrin Muiz berkata, integrasi antara sektor swasta dan agensi kerajaan merupakan pemangkin utama dalam memastikan mesej serta dasar kerajaan sampai kepada sasaran dengan lebih efektif dan tepat.
“Maxim melihat kolaborasi bersama agensi kerajaan sebagai elemen kritikal untuk memastikan penyampaian maklumat yang lebih menyeluruh melalui program kesedaran awam yang lebih berkesan kepada masyarakat.
“Kerjasama dalam bentuk program komuniti, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta kempen kesedaran awam mampu memberi impak positif dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sesuatu isu nasional mahupun setempat.
“Selain mengeratkan hubungan dua hala kunjungan kami ke sini juga menjadi platform penting untuk mendalami fungsi salah satu jabatan kerajaan dalam mendepani cabaran ekosistem komunikasi semasa,” katanya selepas mengadakan kunjungan terhadap Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat JAPEN di sini, pada Selasa.
Kunjungan hormat itu bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dua hala, malah menjadi platform penting untuk mendalami fungsi jabatan tersebut dalam mendepani cabaran ekosistem komunikasi semasa.
Mengulas mengenai perkembangan operasi, Nazrin memaklumkan jumlah rakan pemandunya terus menunjukkan trend pertumbuhan yang dinamik selaras dengan pembukaan pendaftaran kepada individu yang berminat secara berterusan.
“Sehubungan itu, Maxim sentiasa melaksanakan kemas kini data rakan pemandu secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan pertumbuhan platform berkenaan kekal pada tahap optimum mengikut keperluan pasaran semasa,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus meneroka peluang kolaborasi proaktif dengan JAPEN serta agnesi kerajaan lain pada masa hadapan menerusi inisiatif kesedaran awam yang lebih inklusif demi manfaat komuniti secara jangka panjang.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Peter Tong Ah Pin serta Pegawai Komunikasi Korporat, Maxim Shafiqah Shajari./Penerangan-NR/JJ/RR-DJ



