Abidin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil Masjid di majlis itu sambil diperhatikan oleh Amisah, Hussein, Kapili dan lain-lain
RANAU: Masyarakat Ranau adalah model paling terbaik dalam memerlihatkan toleransi agama yang paling tinggi, jelas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Menurutnya, masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai anutan agama namun tidak pernah timbul isu atau masalah daripada perkara tersebut kerana nilai kekeluargaan dan sikap toleransi yang tinggi di kalangan mereka.
“Dalam keluarga saya sendiri mempunyai penganut agama Islam dan Kristian tapi setiap kali ada perjumpaan keluarga tiada kekangan dalam penyediaan makanan atau acara makan.
“Justeru, marilah kita pelihara nilai yang cukup berharga ini kerana ada tempat lain yang tidak wujud persekitaran yang harmoni seperti ini. Biarlah anak cucu kita juga mewarisinya demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian Ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada masjid-masjid dan Surau-surau DUN Paginatan bertempat Masjid Al Makmur Kinapulidan pada hari Jumaat.
Beliau mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana turut dilibatkan dalam program Sambutan Bulan
Ramadhan, khususnya program-program berbuka puasa.
“Kolaborasi tiga orang Yang Berhormat (YB) untuk sama-sama memberi sumbangan kepada semua 12 masjid dan 32 surau di dalam DUN Paginatan merupakan satu inisiatif yang sangat baik.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu sedikit sebanyak keperluan umat Islam di satu-satu kampung dalam penyediaan berbuka puasa sepanjang Bulan Ramadan ini.
“Majlis seperti ini sudah tentunya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim yang sudah sedia terjalin tanpa melihat perbezaan antara kita,” kata beliau.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut bersama-sama dalam program itu juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan Masjid Al Makmur Kinapulidan kerana menjemput beliau bersama sama dalam majlis berbuka puasa itu.
“Majlis seperti ini sudah tentu akan dapat mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat di sini tanpa mengira anutan agama dan fahaman politik kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Program Bulan Ramadhan GRS Peringkat N38 Paginatan yang juga Adun DIlantik Datuk Amisah Yasin mengalu-alukan kebersamaan tiga YB dalam majlis itu.
“Kita bersyukur kerana berkesempatan dalam penyampaian sumbangan daripada Adun dan Ahli Parlimen Ranau. Walaupun jumlahnya tidak seberapa diharap dapat membantu masjid-masjid dan surau-surau di sini menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya.
Turut Hadir Pengerusi Jawatankuasa Biro Hal Ehwal Islam P179 Ranau, Hussein Bin Hj Jirat, Pengerusi Biro Agama Islam Parti Star Bahagian N38 Paginatan KAN Kapili Hj Surop, Ketua Kampung Kg Kigiok KK Ahidi Kasaman, KAN Sawalin Zakaria, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling dan CDO Jipili Sigal.