33 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Masyarakat perlu diberi kesedaran akan kepentingan amalan menderma darah: James

Jenddy (tengah)


SANDAKAN: Masyarakat amnya perlu diberi kesedaran bahawa menderma darah adalah satu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya, kata Menteri Pembangunan Masarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah (KPMKR), Datuk James Ratib


“Sehingga saat ini, masih belum ada unsur lain yang dapat menggantikan fungsi darah manusia secara sepenuhnya walaupun telah banyak kajian dilakukan sebelum ini. Begitulah penting dan uniknya darah manusia.


“Namun begitu, faktor keselamatan darah yang didermakan juga harus dititikberatkan bukan sahaja dari Unit Tabung Darah yang melaksanakan kutipan darah, malah dari pihak penderma darah itu sendiri,” katanya.


Menurut James, tidak dinafikan bahawa masih ramai masyarakat kita yang enggan tampil menderma darah meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian dan Jabatan Kesihatan.


Katanya, salah satu sebab adalah kerana timbulnya perasaan takut dan ragu-ragu dengan proses pendermaan darah yang dijalankan beserta dengan mitos-mitos berkaitan pendermaan darah.


Tambah beliau, ada juga yang beranggapan bahawa menderma darah boleh mendatangkan kesan negatif kepada penderma darah seperti berat badan meningkat dan jangkitan kuman atau virus.


“Segala perasaan takut dan kepercayaan terhadap mitos-mitos berkaitan pendermaan darah ini dapat dihapuskan atau dikurangkan dengan bertanya dan mendapatkan jawapan dari yang pakar,” kata beliau.


James yang juga Adun Sugut berkata, kebaikan menderma darah yang utama ialah untuk menyelamatkan nyawa mereka yang dalam keadaan kritikal serta membantu pesakit Thalassemia dan kanser untuk menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
“Selain itu, berdasarkan kajian, anda juga mungkin tidak menyedari bahawa aktiviti menderma darah dapat membakar 650 kalori dalam satu sesi serta mengurangkan risiko serangan jantung.


“Darah sangat diperlukan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat berikutan peningkatan populasi dan perkembangan perubatan dalam merawat penyakit dan keadaan kecemasan.
“Saya percaya bahawa untuk menjadi seorang yang hebat tidak semestinya melakukan perkara-perkara yang besar dan berimpak tinggi sahaja, namun cukuplah sekadar melakukan perkara yang kecil tetapi turut memberikan impak yang besar terhadap kehidupan orang lain.


“Ini selaras dengan konsep menderma darah yang dijalankan, walaupun cuma satu beg darah, namun ianya akan dapat memberikan impak yang signifikan kepada pesakit yang menerimanya,” kata beliau.
James berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penghargaan Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Sandakan melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Undi @ Jenddy Bin N.C. Sanggau.


Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Duchess Of Kent, Sandakan dengan kerjasama K2 Life Water Sdn. Bhd. bertempat di Dewan Yu Yuan, Sandakan pada hari Sabtu.


Tambah beliau lagi, tarikh 14 Jun telah diisytiharkan sebagai Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia atau ‘World Blood Donor Day’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan tema sambutan yang berbeza pada setiap tahun.


Pada tahun ini, katanya, tema Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia adalah “Give Blood, Give Plasma, Share Life, Share Often” atau “Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan”.
“Sambutan ini adalah sebagai salah satu medium untuk menggalakkan masyarakat menderma darah untuk menyelamatkan orang lain.


“Selain itu, ia juga bertujuan bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.
“Ini adalah kerana Unit Tabung darah di hospital sering mengalami masalah stok darah yang kritikal berikutan permintaan yang tinggi dari pihak hospital untuk merawat pesaki-pesakit yang memerlukan pemindahan darah,” kata beliau.


Beliau memuji usaha Jawatan Kuasa Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 peringkat Sandakan, terutamanya kepada Pengarah Hospital, Dr Mohd Fahmie bin Othman selaku Penaung dan Jabatan Perubatan Transfusi HDOK yang menjadi hos utama untuk Sambutan tersebut.


“Bersempena dengan sambutan ini, adalah menjadi harapan saya agar semua ahli masyarakat khususnya di Sandakan ini, tidak mengira latar belakang agama dan bangsa, untuk tampil menderma darah secara konsisten.


“Ini adalah amat penting untuk kita bersama-sama memastikan bekalan darah yang selamat dan berkualiti dapat dibekalkan secara berterusan untuk kegunaan pesakit yang memerlukan,” katanya.


Beliau turut berterimakasih keada Syarikat K2 Life Water Sdn. Bhd. dan kepada para penderma darah dan penganjur kempen derma darah di atas penglibatan mereka dalam meraikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023.


“Penghargaan saya kepada semua penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang banyak membantu pihak Jabatan Perubatan Transfusi HDOK untuk memastian bekalan darah sentiasa mencukupi,” jelas beliau.


Turut hadir, Pengarah Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Dr Mohd Fahmie bin Othman, Pengurus Urusan Life Water K2, Liaw Hen Kong, Pengarah Eksekutif Life water K2, Chin Lee Ling dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN