JAMES (tengah) beramah mesra sebahagian masyarakat India yang hadir pada majlis itu sambil menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas
SANDAKAN: Masyarakat India di negeri ini perlu mendapat bahagian dalam peruntukan Malaysian Indian Transformation Unit (MITRA) Fund oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, ini kerana bukan semua masyarakat India di Sabah sudah membangun maju tetapi ada segelintir yang masih lagi di belenggu oleh kemiskinan dan masih memerlukan bantuan.
“Masyarakat Indi di sini meminta saya menjadi penaung kaum India di Sabah, dan memohon supaya MITRA Fund dari federal dapat sedikit disalur kepada Sabah kerana sekian lama mereka tidak pernah menikmati peruntukan ini.
“Mereka mengharapkan agar saya menjadi jambatan atau penghubung mereka supaya mereka dapat sedikit daripada peruntukan Mitra ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Ramanan Ramakrishnan.
“Justeru, bagi tujuan ini, saya akan berjumpa dengan beliau (Ramanan) dalam masa yang terdekat untuk membincangkan perkara ini,” katanya.
Dari sudut kerajaan negeri katanya, beliau akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet dan suarakan hasrat mereka supaya kaum India di Sabah tidak terkecuali daripada arus pembangunan daripada Kerajaan Negeri Sabah.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian Sempena Sambutan Deepavali 2024 Anjuran Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah yang diadakan di sini pada Sabtu.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas satu sambutan itu yang diadakan bagi meraikan peranan signifikan Masyarakat India Sabah dalam pelbagai bidang pembangunan di negeri ini.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Persatuan Gabungan Komuniti India atas sambutan yang jelas membuktikan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini, yang mana setiap etnik dan bangsa tiada halangan meraikan kebudayaan masing-masing.
“Menerusi sambutan Deepavali ini, saya berharap ia akan menjadi medan untuk memupuk perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini yang sudah terjalin erat sekian lama dan menjadi negeri ikon perpaduan di Malaysia.
“Justeru, jagalah kesatuan ini khususnya di Sabah sebagai elemen penting dalam merealisasikan dan menjayakan pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat di negeri ini,” katanya.
Selaku Menteri KPMKR Sabah, beliau berharap agar masyarakat India di negeri Sabah dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan segala perancangan pembangunan terutamanya dalam aspek pembangunan masyarakat India di Sabah khususnya.
“Marilah kita semua berganding bahu, bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama membina negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya.
Sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur di atas kejayaan menganjur majlis pada malam ini,” katanya.
Sementara itu, menyentuh tentang Belanjawan Kerajaan Negeri 2025 yang baru diumumkan baru-baru ini, beliau menganggapnya sebagai bajet yang mesra kepada rakyat, “yang kita tidak pernah lihat berlaku dalam sejarah.
“Ini adalah bajet yang cukup baik yang mana bantuan, khususnya kepada golongan B40 dan miskin tegar, sebanyak RM300 setiap bulan diberikan selama tempoh setahun.
“Banyak lagi bantuan-bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat, terutama sekali kepada yang tinggal di luar bandar,” katanya.
Untuk KPMKR sendiri, katanya, bajet turut meningkat, terutama sekali di bahagian Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) dan Jabatan Kebajikan.
Ini, ujar James, menunjukkan bahawa YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor dan Kerajaan Negeri banyak memberi bantuan, terutama sekali kepada golongan wanita dan juga penduduk luar bandar.