James (tengah) menerima cenderkenangan disampaikan Presiden PBTS, Akian
PAITAN: Masyarakat Tombonuo terutama sekali generasi muda diingatkan agar mengekalkan warisan budaya tradisional masyarakat tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahtetaan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, hal tersebut begitu mustahak kerana tanpa disedari, warisan budaya tradisional kini menghadapi ancaman kepupusan.
“Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum dan etnik di negeri ini termasuklah bahasa ibunda, pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya.
“Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.
“Budaya melambangkan identiti sesebuah bangsa. Justeru untuk mempertahan, mengekal dan memelihara adat, budaya dan sebagainya, kesedaran berterusan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PBTS) yang diadakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan pada hari Ahad.
Sementara itu, James yang juga merupakan Adun N48 Sugut mengucapkan syabas dan tahniah kepada persatuan ini terutama sekali barisan kempimpinan tertinggi yang diketuai oleh Presiden, iaitu Akian Ah Kiew.
“Sesungguhnya kejayaan persatuan ini untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menujukan bahawa persatuan ini komited dalam memertabatkan bangsa Tombonuo, terutama dalam mengekalkan dan memelihara adat, budaya dan sebagainya,” katanya.
Menurut James, selain mempertahan dan memelihara adat dan budaya, pendidikan anak-anak bangsa Tombonuo juga harus diberi perhatian kerana pendidikan menjadi aset penting dan mampu mengubah taraf hidup pada masa depan.
“Isu kemiskinan di luar bandar akan berlarutan jika pendidikan masih tidak menjadi keutamaan dan sebab itu kita harus memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang baik,” kata beliau.
Dari sudut memperkasa ekonomi pula, beliau menegaskan bahawa peluang dan potensi kawasan luar bandar perlu diterokai oleh khususnya para belia bagi menjana pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.
“Ini termasuklah bidang pertanian dan perniagaan- perniagaan lain yang sesuai di kawasan kita.
“Kerajaan menerusi jabatan dan agensi sentiasa terbuka dan bersedia untuk membantu, bukan sahaja dari sudut kemahiran, malah bantuan kewangan bagi mereka yang betul-betul serius dan menepati terma dan syarat ditetapkan pihak berkenaan.
“Justeru, rebutlah peluang- peluang yang ada demi menjana pendapatan seterusnya meningkatkan ekonomi sekali-gus mengubah taraf kehidupan sendiri dan keluarga,” kata beliau.
Sementara itu, James menambah bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang stabil dan berada di landasan yang tepat dalam memacu pembangunan di negeri ini selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan SMJ adalah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi dan melaksanakan pembangunan yang adil di antara bandar dan luar bandar.
“Sehubungan itu, untuk merialisasikan aspirasi kerajaan ini, saya mengajak seluruh kepimpinan tertinggi PBTS untuk terus menghargai dan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Ini adalah demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang lebih baik di negeri Sabah, khususnya di kawasan pedalaman yang masih dahagakan pembangunan,” kata beliau.
Dalam program tersebut, James meluluskan sumbangan pembinaan Rumah Kebudayaan Tombonuo di Paitan.
“Semoga sumbangan ini memberi impak yang bermanfaat kepada seluruh bangsa Tombonuo, terutama sekali dalam mempertahan dan memelihara adat budaya termasuk Kebajikan dan Pendidikan,” jelas beliau.