27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MASYARAKAT DUSUN GANA,KUIJAU DAN NABAI ADAKAN UPACARA MENSURONG TOLAK BALA PENYAKIT COVID-19

Ketua Pawang (Bobolian),Joseph Mitah membacakan mantera sebelum melakukan penyembelihan binatang

KENINGAU: Bimbang dengan peningkatan jangkitan wabak Covid-19 di negeri Sabah, Pemegang adat-istiadat Masyarakat Dusun Gana, Kuijau dan Nabai telah mengadakan satu upacara dikenali sebagai ‘Monsurung’ yang berlangsung pada Sabtu di tepi sungai Taman Bandukan Lama.

Upacara ‘Monsurung’ merupakan ritual nenek moyang masyarakat berkenaan sejak turun temurun dipercayai untuk menghalau segala bala bencana yang melanda manusia serta tanaman pertanian termasuk bencana penyakit Covid-19. Upacara ini diketuai oleh Joseph Mitah, seorang Ketua Pawang atau ‘Bobolian’ dari kalangan etnik itu.

Dalam acara tersebut, sebanyak empat ekor kinzir dan lebih sepuluh ekor ayam kampung telah disembelih oleh pawang (Bobolian) yang mengetuai ritual tradisional berkenaan. Sebelum upacara penyembelihan binatang dilakukan, pawang (Bobolian) akan membaca beberapa mantera untuk menolak segala bala bencana penyakit khasnya Covid-19 yang sedang melanda manusia di negeri ini dan serata dunia.

Upacara ‘Menubak’ sedang berlangsung

Dalam masa sama, sebahagian daripada daging kinzir dan ayam kampung yang disembelih akan dimasak oleh beberapa Ketua Adat-Istiadat dari golongan warga emas yang kemudiannya menghidangkan untuk santapan roh nenek moyang. Ritual ini dinamakan sebagai ‘Menubak’ dalam bahasa ibunda masyarakat Dusun Gana, Kuijau dan Nabai. Turut dihidangkan dalam santapan roh nenek moyang ini adalah minuman tradisi iaitu Tapai yang diperbuat daripada beras dan ragi. Tujuan ritual ini diadakan adalah untuk mendapatkan keramat daripada roh nenek moyang agar mereka menganugerahkan kesembuhan dan keselamatan kepada umat manusia yang dilanda musibah penyakit ketika ini.

Sebelum upacara ‘Menubak’ bermula, pawang (Bobolian) akan memasukkan beberapa ketul daging kinzir dan ayam kampung didalam sebuah perahu kecil yang dibuat daripada bambu sambil membacakan beberapa ayat mantera yang dipercayai untuk menghalau segala penyakit yang melanda manusia. Perahu kecil dengan muatan ketulan daging itu kemudiannya dihanyutkan di Sungai Bandukan Lama dengan hajat agar segala penyakit dan musibah jahat ini akan lenyap dibawa arus sungai serta tidak lagi melanda manusia.

Pawang menghanyutkan ketulan daging Kinzir dan Ayam Kampung di Sungai Bandukan Lama sambil melafazkan mantera.

Selesai sahaja upacara itu, pawang (Bobolian) akan bersama-sama peserta yang hadir dalam upacara ‘Monsurung’ akan menjamah hidangan makanan dan minuman tradisional menandakan acara kemuncak ritual ‘Monsurung’. Dalam masa sama, daging kinzir yang telah disembelih oleh Pawang (Bobolian) turut diagih-agihkan kepada peserta yang mengambil bahagian. Dalam upacara itu, sebanyak 75 bahagian daging kinzir telah diagihkan kepada peserta (Bukan Muslim) yang datang dari segenap kampung di Mukim Bingkor.

Agihan daging kinzir kepada peserta ‘Monsurung’. Peserta yang mengambil bahagian terdiri dari kalangan penduduk kampung bukan beragama Islam.

Dengan berakhirnya upacara ‘Monsurong’ itu, maka bermulalah beberapa pantang larang diseluruh Mukim Bingkor selama tiga hari seperti mana yang telah ditetapkan oleh Pawang (Bobolian) atas persetujuan Mahkamah Anak Negeri Daerah Keningau. Antara pantang larang yang perlu dipatuhi oleh penduduk kampung termasuklah larangan memalu gong, tidak boleh memproses minyak kelapa, kerja-kerja pertukangan besi dan bengkel, ditegah bermain alat muzik karoke, tidak boleh memasang televisyen dan radio, dilarang bermain sebarang aktiviti sukan, tidak boleh memanggil sesama manusia, ditegah memanggil binatang khasnya ayam dan kinzir, larangan kerja pertukangan kayu dan penggunaan mesin pemotong kayu, pemotong rumput dan penyedut air, tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja pertukangan rumah dan meroboh rumah, dilarang meletupkan sebarang bahan letupan, kenderaan awam tidak boleh sengaja dibunyikan enjin secara kuat serta larangan memproses dan memakan beberapa jenis makanan seperti jeruk, lada, sayur goreng, ikan, sayap ayam panggang, kulat dan memanggang sebarang jenis daging dan ikan.

Kesemua syarat pantang larang ini telahpun diedarkan melalui surat rasmi kepada pemimpin masyarakat disekitar Mukim Bingkor untuk dihebahkan kepada penduduk kampung. Bagi mana-mana individu yang terkesan melakukan kesalahan melanggar pantang larang tersebut, Mahkamah Anak Negeri Daerah Keningau akan mengambil tindakan tegas termasuk dikenakan hukuman membayar segala kos kewangan yang digunakan untuk melangsungkan upacara ‘Monsurong’. Namun demikian, pantang larang ini terkecuali kepada semua bentuk upacara keagamaan di mana-mana rumah ibadat sekitar Mukim Bingkor.

Joseph Mitah, Ketua Pawang (Bobolian).

Dalam Upacara ‘Monsurong’ ini,semua SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa turut dipatuhi. Pada dasarnya, upacara itu sepatutnya melibatkan penyertaan penduduk yang ramai. Namun demikian, penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat, hanya dua orang dibenarkan hadir daripada beberapa kampung di sekitar Mukim Bingkor. Upacara ini juga diikhtiraf oleh Mahkamah Anak Negeri dan hanya berlangsung dikalangan masyarakat Dusun Gakuna disekitar Mukim Bingkor, Keningau. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN