KENINGAU: Masyarakat negeri ini diharap dapat terus menjaga kesihatan diri masing-masing dan orang sekeliling daripada dijangkiti penyakit COVID-19 berikutan kelonggaran yang diberikan di negeri ini.
Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert (gambar) berkata, seperti yang diketahui umum, negara kini dalam peralihan ke fasa endemik setelah peratusan yang menerima vaksin COVID-19 telah mencapai tahap yang tinggi.
“Seperti yang diketahui, makna endemik ialah keadaan di mana penyakit bawaan COVID-19 tetap masih wujud di sekitar kita cuma ia sudah dapat dikawal dengan baik.
“Berikutan usaha kerajaan untuk terus maju ke hadapan dan ke arah fasa endemik ini, diharap mereka yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin, dapat hadir untuk menerima vaksin COVID-19 secepatnya mungkin untuk perlindungan diri dan memudahkan urusan seharian mereka.
“Ini kerana penyakit ini bakal berada di sekeliling kita dan mereka yang belum menerima suntikan vaksin kemungkinan besar akan mengalami kesan yang lebih buruk berbanding mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya.
“Kita yakin kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menjaga dan melindungi kesihatan dan ekonomi setiap rakyat. Oleh itu, setiap individu diharap dapat memberi kerjasama sebaiknya dalam usaha memulihkan negara ini termasuk menjaga kesihatan mereka,” jelasnya ketika dihubungi di sini.
Beliau yang juga Ketua Armada BERSATU Bahagian Keningau berharap agar setiap masyarakat juga perlu terus menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan budaya norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada bagi mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19, termasuk mereka yang sudah lengkap menerima vaksin.
Terdahulu, bermula Selasa, kerajaan negeri memberi kebenaran kepada kanak-kanak dan remaja memasuki premis perniagaan dan kebenaran pembukaan aktiviti tamu, pasar tani, pasar malam, pasar mingguan dengan syarat pematuhan arahan vaksinasi.
Bagi pembukaan pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam hanya dibenarkan di daerah-daerah yang telah mencapai peratusan vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 60% penduduk dewasa serta tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.
Manakala bermula hari Khamis ini, kerajaan negeri membenarkan rentas daerah di seluruh negeri bagi mereka yang sudah menerima vaksin dan turut membenarkan rentas negeri bermula 1 November depan.