BUBUR LAMBUK… Kifli (lima dari kanan) bersama Haji Harun (lima dari kiri), Ustaz Zainal ((tiga dari kanan) dan Omar (kiri sekali) bergotong royong memasak bubur lambuk.
LABUAN: Pengurusan Masjid Sirajul Islam (MSI) Tanjung Aru telah merancang untuk memasak bubur lambuk setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan bermula Ahad lalu.
Pengerusi Masjid Sirajul Islam Tanjung Aru, Kifli Ag Anak berkata, program yang mendapat sambutan dikalangan kariah kampung dilaksanakan secara bergotong royong bermula daripada penyediaan bahan bahan memasak sehinggalah kerja kerja pengagihan bubur lambuk.
“Pihak masjid telah memperuntukan RM1,000 untuk melaksanakan program tersebut dimana setiap minggu membelanjakan RM250.00 bagi penyediaan bahan memasak bubur lambuk” katanya, ketika ditemui pada majlis agihan bubur lambuk di perkarangan masjid Sirajul Islam, petang Ahad.
Terdahulu beliau bersama jawatankuasa Masjid telah mengagihkan sebanyak 300 bungkus bubur lambuk yang telah siap dibungkus kepada warga kampung khususnya golongan yang kurang berkemampuan selain untuk hidangan majlsi berbuka puasa di masjid.
“Bermula minggu depan kita bercadang untuk mengagihkan bubur lambuk yang sudah siap dimasak kepada orang ramai secara pandu lalu, selain diagihkan kepada warga kampung yang datang sendiri ke masjid untuk mengambil bungkusan bubur lambuk” katanya.
Katanya, agihan bubur lambuk ini akan bermula selepas waktu Asar.
Dalam pada itu, Kifli turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Imam Masjid Sirajul Islam, Ustaz Zainal Abdul Wahad, Ketua Kampung Tanjung Aru, Haji Harun Damit dan Bendahari Masjid Sirajul Islam Tanjung Aru, Muhamad Gadapi Ag Apong kerana mencetuskan idea untuk melaksanakan program ini sehingga menjadi kenyataan.
Beliau, juga turut mengucapkan terima kasih kepada ‘chief cook’ Bubur Lambuk, Haji Omar Baki bersama pasukannya kerana memasak bubur lambuk sacara sukarela, malah bersedia untuk melaksanakannya setiap minggu sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Kifli, program gotong royong memasak Bubur Lambuk bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk kampung dengan kariah masjid tetapi sebagai tanda syukur kerana mendapat sebuah masjid yang baharu siap dibina.