MASIDI: SABAH TERIMA BEKALAN BAHARU 152,100 DOS VAKSIN PADA RABU

MASIDI: SABAH TERIMA BEKALAN BAHARU 152,100 DOS VAKSIN PADA RABU

22/07/2021 Off By ADUKA JASNIN SUMAN

Masidi Manjun – gambar fail

KOTA KINABALU: Sabah menerima bekalan baharu 152,100 dos vaksin, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima setakat ini sebanyak 747,980 dos bagi bulan Julai.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata agihan dan penghantaran vaksin oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah tiba di negeri ini pada Rabu.

“Mengikut jadual penghantaran, satu lagi bekalan dalam kuantiti yang besar iaitu sebanyak 308,880 dos akan sampai pada 28 Julai depan tidak termasuk 30,000 dos yang akan sampai lebih awal pada Jumaat ini.

“Jumlah keseluruhan vaksin yang dibekalkan kepada Sabah bagi bulan Julai ialah 1,086,760 dos,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, kerajaan Negeri Sabah mengharapkan tidak ada lagi gangguan keatas penghantaran bekalan vaksin bagi bulan Ogos dan seterusnya.

“Ini akan membolehkan kita meningkatkan kadar vaksinasi bagi penduduk negeri Sabah,” tambahnya.