Masidi (tengah) dan lain-lain ketika melancarkan acara
RANAU: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah memperkukuhkan usaha membudayakan penggunaan pembayaran elektronik (epembayaran) dalam kalangan masyarakat luar bandar, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana di daerah ini.
Usaha tersebut telah dilancarkan dalam Majlis Perasmian Program Inisiatif Masyarakat Tanpa Tunai Ranau, yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun di sini pada Sabtu.
“Terima kasih kepada Bank Islam kerana menganjurkan program pada pagi ini dengan kerjasama serta sokongan Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Bank Negara Malaysia, PayNet, Pejabat dan Majlis Daerah Ranau.
“Saya amat berbesar hati kerana diberi kesempatan melancarkan program yang menggalakkan masyarakat Ranau untuk berurusan secara tanpa tunai.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada para peniaga dan pengguna di Ranau yang telah menerima dan berjaya menggunakan kaedah pembayaran elektronik dalam perniagaan dan kehidupan seharian.
Tambah Masidi, sesungguhnya program seperti ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua pihak sama ada dari sektor awam, swasta, peniaga dan warga Ranau sendiri. Hadirin sekalian,
“Negara kita menyediakan akses yang meluas terhadap perkhidmatan kewangan, terutamanya bagi penduduk luar bandar dan peniaga termasuk peniaga-peniaga kecil.
“Namun demikian, perluasan rangkuman kewangan ini dapat diperhebatkan lagi melalui penggunaan teknologi.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan seperti Bank Islam yang sentiasa turun padang untuk memberikan khidmat nasihat dan kemudahan seperti pendaftaran perbankan atas talian (online) untuk masyarakat luar bandar seperti di Ranau ini,” katanya.
Ujar Masidi lagi, dalam dunia digital pada hari ini, penduduk luar bandar dan usahawan perniagaan mikro, kecil dan sederhana seharusnya menyokong usaha menggunakan pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran yang menawarkan pelbagai manfaat.
Menurut beliau, program ini bertujuan untuk menggalakkan para peniaga menggunakan kaedah epembayaran melalui DuitNow QR dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Biz by Bank Islam (BIMB Biz) bagi urusan perniagaan harian mereka.
“Menerusi usaha yang dijalankan, para peniaga terlibat akan mendapat bimbingan dan sokongan menggunakan aplikasi BIMB Biz yang dilengkapi ciri-ciri direka khas untuk memudahkan pengurusan kewangan perusahaan yang dimiliki.
“Aplikasi tersebut juga membantu menguruskan risiko pengurusan tunai peniaga dengan memastikan rekod jual beli harian yang lebih teratur.
“Pada masa sama, komuniti perniagaan juga boleh menerima pembayaran tanpa tunai (DuitNow QR) daripada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, para penggunaan kod QR merupakan satu saluran pembayaran yang mudah tanpa tunai yang selamat dan efisien.
Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam, Mohd Noor Jab berkata, Bank Islam giat mempromosikan penyelesaian berasaskan teknologi seperti kaedah e-pembayaran untuk menggalakkan lagi urus niaga tanpa tunai agar para pelanggan dan pengguna tidak ketinggalan dalam arus digital yang pesat berkembang.
“Kami komited memperluaskan kemudahan pembayaran dan perbankan elektronik, selain meningkatkan akses perkhidmatan yang inklusif dan mesra pengguna.
“Pada hari ini, 99 peratus daripada transaksi pelanggan Bank Islam disempurnakan melalui saluran elektronik, yang mana 18 peratus melalui Perbankan Internet Bank Islam; 56 peratus melalui aplikasi perbankan mudah alih GO by Bank Islam dan 25 peratus melalui Terminal Layan Diri di seluruh negara.
“Sementara aplikasi BIMB Biz kini telah membuat kutipan bayaran hampir RM300 juta pada tahun ini,” katanya.
Dalam merancakkan lagi penerimaan e-pembayaran serta penyelesaian lengkap perbankan patuh Syariah Bank Islam kepada komuniti perniagaan di Ranau, majlis perasmian program tersebut turut melibatkan sesi taklimat mengenai kemudahan perbankan digital yang disediakan serta pengenalan program pembiayaan mikro iTEKAD, Perbankan PKS dan AlAwfar Bank Islam.
Turut diadakan taklimat kesedaran mengenai penipuan kewangan yang dikelolakan BNM.
Setakat ini, sebanyak 100 peniaga di Ranau telah mendaftar aplikasi GO Biz dan menerapkan teknologi dalam perniagaan mereka.
Tambah Mohd Noor, menerusi inisiatif-inisiatif yang dirancang, komuniti peniaga di daerah ini akan mendapat sokongan yang diperlukan dalam memanfaatkan aplikasi BIMB Biz dan DuitNow QR sebagai medium penerimaan pembayaran digital yang memudahkan urusan jual beli.
“Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan kesedaran umum akan pelbagai kemudahan dan manfaat yang boleh dinikmati pengguna menerusi kaedah perbankan digital yang lengkap, selamat dan memudahkan pengguna tanpa perlu mengunjungi bank fizikal Bank Islam,” tambah beliau.
Aplikasi GO Biz boleh dimuat turun melalui Apple AppStore, Google Play Store atau Huawei AppGallery.
Turut hadir, Adun dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengarah Wilayah Sabah, Bank Negara Malaysia (BNM) Adlis Khairil Sazli Mohd Zaini, Pengarah Kanan Divisyen Komersial, Payment Network Malaysia (PayNet), Azrul Fakhzan Mainor, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam dan lain-lain.