KENANGAN… Walter (keempat kiti), Jenddy (keempat kanan) merakam gambar bersama tetamu lain dan peserta program TABAH di Kunak.
KUNAK: Isu dan masalah penagihan dadah di kalangan masyarakat bukanlah perkara baharu dan ianya telah menular dengan pelbagai kecanggihan dalam pembuatan dan pengedaran.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) merangkap Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, kebanyakan penagih dadah yang terlibat bukan sahaja terdiri dari kalangan anak-anak muda tetapi golongan lanjut usia.
“Jika kita baca dan lihat dalam media massa, terdapat banyak kes jenayah ringan dan berat yang telah berlaku mengaitkan kegiatan penagihan dadah.
“Insiden-insiden seperti pecah rumah, kecurian, kes cabul malah pembunuhan, kesemuanya ada berhubungan dengan masalah pengaruh dadah.
“Individu akan hilang pertimbangan sebagai makhluk yang berakal, melakukan pelbagai jenayah tanpa mengira mangsa sama ada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai maupun Kejiranan,” kata beliau.
Menurut James, dalam zaman yang semakin canggih ini, teknologi pembuatan dadah juga mengalami evolusi sehingga dalam situasi tertentu pengambilan dadah tidak lagi dapat dikesan melalui saringan kesihatan.
Tambah beliau, kaedah-kaedah untuk mendapatkan bekalan dadah kini amat mudah dilakukan iaitu dengan hanya sentuhan handphone dan SMS maka perkhidmatan bekalan sampai ke tangan pemohon.
“Selain itu, para ”pusher” dan pengedar juga mengambil kesempatan dengan menggunakan ”keldai dadah” sebagai kambing hitam untuk mengaut keuntungan..
“Dalam hal ini, maka wanitalah yang kerap menjadi mangsa dan diperalatkan dalam operasi pengedaran dadah,” kata beliau.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa Majlis Penutupan Program TABAH dan Program Kempen Sayangi Keluarga Daerah Kunak yang diadakan di Dewan Seri Bestari SMK Kunak pada hari Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) Walter Kenson.
Sementara itu, kata beliau, jangka hayat warga emas dijangka bertambah setiap tahun, dan ini adalah kesan langsung daripada kemajuan perubatan, kemudahan bantuan perubatan dan kesedaran penjagaan.

WALTER (kiri)…. menyampaikan sijil kepada salah seora g panel penceramah, Freddy Au
“Walaupun fasiliti kesihatan semakin baik dan segelintir golongan warga emas tidak menghidap penyakit kronik tetapi fizikal mereka yang lemah, ingatan mereka yang semakin pudar serta keadaan sosial mereka yang serba kekurangan menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan keselamatan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, kata beliau, pelbagai cabaran terutama anak-anak yang masih bekerja serta ragam di kalangan warga emas sendiri, menjadikan penjagaan warga emas sebagai sesuatu yang sukar dan sangat mencabar.
“Justeru itu, penjaga haruslah memiliki kemahiran agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga emas.
“Kemahiran asas penjagaan warga emas menjadi kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti.
“Selain itu, persediaan mental dan fizikal adalah satu keperluan yang wajib dititikberatkan oleh penjaga warga emas,” kata beliau.
James berharap Program TABAH dan Kempen Sayangi Keluarga yang telah dirancang di Daerah Kunak dan yang akan menyusul adalah Daerah Kudat dan Nabawan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri KPMKR, Jenddy Sanggau, Pegawai Daerah Kunak merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Kunak, Awang Haji Mohd Yusoff dan lain-lain.