30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Masalah gangguan bekalan air bersih di Ranau bakal selesai tidak lama lagi


RANAU: Masalah gangguan bekalan air bersih di daerah ini bakal selesai tidak lama lagi jika tiga perancangan utama dapat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Air Ranau, jelas Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pada Sabtu.


“Berkaitan dengan masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Ranau pada masa kini, kita boleh sahkan bahawa terdapat dua projek pembaikan yang bakal mengatasi isu-isu yang berlaku selama ini.


“Satu daripada projek pembaikan yang dimaksudkan ialah pembinaan intake air ke Bambangan manakala yang kedua melibatkan projek di Pekan Ranau sendiri.


“Kita yakin bahawa sekiranya dua projek ini selesai dilaksanakan, maka ini akan menambah baik lagi bekalan air bersih di kawasan Ranau,” kata beliau.

Keadaan salah satu intake air di Ranau yang perlu diberi nafas baharu bagi menampung keperluan penduduk di daerah ini sekarang dan ada masa mendatang


Selain daripada itu, Jonathan yang juga Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri Malaysia berkata, beliau juga telah mencadangkan kepada Jurutera Jabatan Air Ranau supaya mengalirkan bekalan air bersih dari Sungai Nakamura di Batu Dua Ranau ke loji penapisan air jabatan tersebut.


“Perlu dibuat satu working paper yang memperincikan bagaimana kita boleh menyalurkan sumber air yang tidak tercemar ini terus ke loji jabatan air.


“Saluran ini akan dimanfaatkan terutama sekali semasa daerah ini mengalami masalah pertambahan volume air sungai Liwagu yang seringkali mengakibatkan masalah di bahagian intake air. Ia juga mampu membantu pada musim kemarau di mana volume sumber air utama adalah sedikit,” jelas beliau.


Menurut beliau, perkara tersebut sudah dibangkitkan kepada pihak Jabatan Air sejak dua tahun yang lalu, di mana pihak beliau meminta jabatan tersebut menyediakan working paper yang kemudiannya boleh beliau angkat kepada kerajaan Pusat atau Negeri supaya dapat merealisasikan cadangan tersebut.


Jonathan yakin bahawa sambungan bekalan air dari Sungai Nakamura ke Pekan Ranau itu, ditambah lagi dengan pelaksanaan dua projek yang disebut tadi akan mampu menyelesaikan sama sekali permasalahan bekalan air bersih yang membelenggu penduduk daerah ini sejak sekian lama.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN