24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Masalah bekalan air terawat akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri

Robert menanam pokok durian sebagai tanda rasminya program itu.

KENINGAU:Permasalahan bekalan air terawat di Daerah Keningau akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sekiranya masalah ini berlarutan.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, ini kerana tiga alat ganti pam air yang rosak di Loji Rawatan Air Bingkor yang dibeli dari luar negara dijangka memakan masa selama dua bulan lagi untuk sampai.

Katanya, permasalahan bekalan air di seluruh daerah Keningau ini perlu diselesaikan dengan segera kerana kawasan yang turut terlibat adalah kawasan Pekan Keningau yang merupakan pusat aktiviti ekonomi.

“Selaku wakil rakyat di sini saya bertanggungjawab untuk melaporkan ke peringkat negeri sebab kita tahu masalah ini menjejaskan bekalan air di daerah ini, jadi saya perlu melaporkannya kepada jawatankuasa bencana alam negeri” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Pengurusan Kawasan Tadahan Bersama Komuniti anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS) di Taman Bandukan Riverside Resort pada Rabu.

Manakala katanya, permasalahan bekalan air bagi kawasan Mukim Apin-Apin Keningau telah berjaya diselesaikan sebahagiannya pada awal minggu ini.

Sementara itu, berkenaan program ini Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air JPS, Miklin Ation berkata, ianya diadakan bagi tujuan memastikan kuantiti dan kualiti sumber air ada pada tahap yang dikehendaki selain memastikan kelestarian persekitaran akuatik.

Katanya, lima lokasi didahulukan untuk program berkenaan iaitu melibatkan Sungai Bayayo Keningau, Sungai Mesilau Ranau, Sungai Babagon Penampang, kawasan sungai Simpangan Kota Marudu dan Sungai Kalumpang Tawau.

Program yang julung-julung kali diadakan itu menjurus kepada peningkatan kesedaran kepada komuniti setempat dalam pengurusan sumber air melalui konsep tadahan secara efektif.

Turut hadir Pengarah JPS Sabah Waily Harim, Jurutera JPS Daerah Ir. Dachord Moujing, Ketua-Ketua Jabatan dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN