KUALA LUMPUR: Masa depan generasi muda perlu diangkat sebagai salah satu segmen penting dan agenda keutamaan Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerajaan perlu menyantuni “fear and concern” anak-anak muda kita tentang peluang pekerjaan mereka hari ini dan cabaran masa depan.
Beliau memberikan jaminan bahawa suara dan tuntutan Sabah berkaitan hak-hak dan
kepentingan Sabah bukan hanya berkisar tentang kepentingan kenegerian semata-mata, tetapi berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak sesekali mengambil hak-hak orang lain, tetapi menuntut agar hak-hak kita
dipelihara dan dilaksanakan. Tidak timbul soal kesetiaan kepada negara, tanah air ini
milik bersama, hidup dan mati kita adalah untuk negara Malaysia tercinta”, katanya pada
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini (Ahad).
Katanya, Sabah amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri dalam melaksanakan
isu-isu tertangguh sekian lama berhubung MA63.
“Kita amat berharap komitmen tinggi Perdana Menteri ini didokong dan dilaksanakan
oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.
Hajiji berkata, perjuangan GRS adalah seiring dengan agenda Membangun Malaysia
Madani. Formula tempatan dan citra lokal yang menjadi landasan perjuangan kita adalah didirikan atas satu hasrat dan matlamat iaitu membentuk kesatuan seluruh rakyat untuk bergerak seiring, sehati sejiwa membawa perubahan, melonjakkan pembangunan Sabah.
“Kita yakin dan percaya Sabah yang lebih maju dan berjaya akan memberikan nilai dan
makna kepada Malaysia tanah air tercinta”, tambahnya.
Hajiji berkata, GRS bertekad untuk terus memperkukuhkan gagasan perpaduan ini, dan
mengajak semua rakan untuk terus melangkah ke hadapan demi mengangkat agenda rakyat melalui Kerajaan Perpaduan.
Katanya, tema Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan iaitu Madani: Mengangkat
Agenda Rakyat amat bertepatan dan wajar diletakkan sebagai landasan setiap dasar
dan program Kerajaan di semua peringkat.
“Hari ini keutamaan kita adalah untuk memaknai gagasan yang diilhamkan oleh Perdana
Menteri. Kita membangun Malaysia Madani dengan mengangkat agenda rakyat. Secara
tuntasnya, nilai dan makna Malaysia Madani bukan semata-mata menjadikan negara ini
maju, tetapi juga rakyatnya berkemajuan”.
“Tidak lengkap nilai kemajuan itu sekiranya hanya sebilangan kumpulan masyarakatnya maju dan masih ada yang ketinggalan dari arus perdana, apatah lagi yang masih hidup susah. Atas sebab itu, GRS amat mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam agenda menoktahkan kemiskinan”, tegasnya.
Hajiji berkata, makna kemajuan itu juga tidak lengkap sekiranya kepesatan pembangunan itu hanya bertumpu di kawasan dan negeri tertentu semata-mata, dan masih ada negeri dan wilayah yang bergelumang dengan kemunduran ekonomi dan isu-isu legasi infrastruktur termasuk kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.
Menurutnya, menjadi harapan GRS agar Kerajaan Persekutuan meletakkan dan mengangkat agenda kesaksamaan sosio-ekonomi rakyat dan wilayah sebagai agenda nasional dalam Pembangunan Malaysia Madani.
Hajiji berkata, GRS memberikan sepenuh komitmen kepada perjuangan Kerajaan
Perpaduan dan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Kita mendoakan rakan-rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan memperolehi kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri-Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Sekiranya diperlukan oleh mana-mana negeri dan sekiranya bersesuaian dan diperlukan, kita bersedia membantu rakan-rakan sekalian”, tegasnya.