ADVERTISEMENTspot_img

MARA Salur Pinjaman kepada Lebih 33,000 Pelajar Sabah dan Sarawak

DATUK JONATHAN YASIN

RANAU: Seramai 19,096 pelajar dari Sabah dan 14,822 orang pelajar dari Sarawak telah menikmati kemudahan pinjaman pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) setakat ini, kata Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin.


Menurut beliau sehingga kini, secara keseluruhannya, MARA telah menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada 628,900 orang pelajar di seluruh negara untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat.


“Pengajian yang berkenaan termasuklah bermula daripada peringkat persediaan, diploma, ijazah sarjana muda, sehinggalah ke peringkat pasca-siswazah (Sarjana dan PhD) serta profesional di institusi pengajian dalam dan luar negara,” kata beliau.


Maklumat tersebut diperolehi beliau melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 yang diadakan baru-baru ini.


Dalam mesyuarat itu, Jonathan meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sejak penubuhan MARA, berapa jumlah biasiswa yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar seluruh Malaysia dan daripadanya berapa penerima biasiswa MARA dari Wilayah Sabah dan Sarawak.


“Maklumbalas dari kementerian menyatakan bahawa sejak penubuhan MARA pada 1 Mac 1966, agenda pemerkasaan modal insan Bumiputera melalui pendidikan telah menjadi teras utama agensi ini.


“Program penajaan pinjaman pelajaran MARA, yang merangkumi pinjaman boleh ubah telah memberi manfaat yang amat besar kepada ramai anak bangsa,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN