27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Manifesto Ditunaikan: Pemilihan Ketua Kampung dan JKKK Secara Undi Terbuka di Bingkor

Sekitar proses pemilihan jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di sekitar DUN Bingkor.

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor telah melaksanakan salah satu manifesto pilihan rayanya apabila proses pemilihan jawatan di peringkat kampung, iaitu Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan dan Keselamatan Kampung (PJKK), dilaksanakan secara undi terbuka oleh penduduk kampung.

Pelaksanaan pemilihan bagi kedua-dua jawatan tersebut mula dijalankan sejak 16 Januari lalu dan dikendalikan oleh jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada kakitangan Pejabat ADUN N.40 Bingkor.

ADUN N.40 Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub, yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, berkata beliau berharap mandat yang diberikan oleh penduduk kampung dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memilih pemimpin masyarakat yang berwibawa, berintegriti serta mampu memajukan kampung dan menjaga kebajikan penduduk setempat.

“Saya berharap pemilihan ini dapat dilaksanakan secara telus dan adil, serta penduduk kampung memilih pemimpin yang benar-benar komited untuk memajukan kampung masing-masing, selain berperanan sebagai jambatan perhubungan dalam menyuarakan isu dan keperluan penduduk kepada kerajaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Proses Pemilihan Jawatan Ketua Kampung dan PJKK DUN Bingkor (AJKPPP), Alexsius Tingadon, berkata pihaknya telah mengeluarkan notis pemakluman kepada 73 buah kampung di seluruh kawasan DUN Bingkor bermula 8 Januari lalu bagi memaklumkan prosedur dan tatacara pemilihan kedua-dua jawatan berkenaan.

Datuk Mohd Ishak Ayub berharap pemilihan ini dapat dilaksanakan secara telus dan adil, serta penduduk kampung memilih pemimpin yang benar-benar komited memajukan kampung dan menyuarakan keperluan rakyat kepada kerajaan semasa.

Menurut beliau, borang pencalonan telah mula dikeluarkan oleh Urusetia di Pejabat Wakil Rakyat Bingkor pada 9 Januari, dan setakat ini seramai 36 orang calon Ketua Kampung serta 42 orang calon PJKK telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

“Sebagai Pengerusi Pelaksana, saya turut dibantu oleh 13 orang AJKPP yang sebahagiannya adalah kakitangan Pejabat ADUN N.40 Bingkor termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor yang turun padang bagi memastikan perjalanan pemilihan berjalan lancar, teratur serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Alexsius turut memaklumkan bahawa setakat ini proses pemilihan secara undian telah berjaya dilaksanakan di 42 buah kampung, yang menyaksikan pemilihan pemimpin berdasarkan kehendak dan sokongan majoriti penduduk kampung itu sendiri.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kampung terlibat, hanya tinggal 31 buah kampung lagi yang belum melaksanakan pemilihan, namun jadual pemilihan telahpun diedarkan bagi membolehkan persiapan dibuat lebih awal.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk kampung agar keluar beramai-ramai menghadiri proses pengundian yang diadakan di dewan masyarakat atau balai raya kampung masing-masing bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar, telus dan mencerminkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN