Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat- mangsa terperangkap banjir kilat malam tadi- Gambar ehsan bomba
RANAU: Empat individu daripada sebuah keluarga yang terperangkap selepas rumah dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Sedul 1, di sini malam tadi berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.35 malam.
Katanya, sejurus menerima laporan, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah keluarga seramai empat orang terperangkap banjir di rumah mereka
“Mangsa masing-masing dua dewasa dan dua kanak-kanak, katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Menurut Ridwan, pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa yang terperangkap menggunakan tali dan jaket keselamatan untuk menyeberang sungai yang dinaiki air.
Katanya, semua mangsa seterusnya dihantar ke rumah saudara mara terdekat dalam keadaan selamat.
Tambah beliau, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan kira-kira jam 11.22 malam.
Terdahulu, pasukan bomba menjalankan pemantauan di empat lokasi terjejas banjir kilat melibatkan Kampung Libang, Kananapon, Kituntul dan Sekolah Kebangsaan (SK) Libang.