KOTA KINABALU: Kisah menyayat hati yang menimpa anak beranak dalam kemalangan maut keretapi baru-baru ini, mendapat perhatian Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Beliau yang tiba kira-kira jam 3 petang disambut oleh Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Dr. Marcus Netto serta warga hospital terbabit.
Meluangkan masa kira-kira 40 minit, Toh Puan Norlidah diberikan taklimat berhubung rawatan serta perkembangan kesihatan adik Muhd Fahim Asraf Jasri, 11, oleh Pegawai Perubatan, Dr. Chay Guo Qin.
Pada lawatan tersebut, selain menghulurkan sumbangan wang tunai, Toh Puan turut memberikan kata-kata semangat kepada kepada adik Fahim serta bapanya, Jasri Asit, 51, dari Kg Muhibbah Petagas agar terus tabah menghadapi dugaan hidup.
Dalam pada itu, Jasri yang kini menjadi bapa tunggal kepada empat anak menzahirkan syukur serta berterima kasih atas keprihatinan Toh Puan Norlidah menyantuni anaknya di hospital terbabit.
“Ucapan terima kasih kerana sudi melawat kami d hospital, memberi semangat kepada anak saya…semoga Toh Puan dipanjangkan umur sihat selalu,” ujarnya.
Dalam insiden kira-kira jam 1.30 petang 19 November lalu, isteri Jasri, Allahyarham Lena Gabin, 41, menemui ajal, manakala Fahmi pula putus kaki kanan di samping cedera di beberapa anggota badan akibat digilis keretapi.- Penerangan-