33 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 13, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Mangsa kebakaran terima sumbangan dari Jonathan

Benedict (keenam kanan) menyerahkan sumbangan itu kepada Japirin sambil diperhatikan oleh yang lain


RANAU: Sebuah keluarga yang kehilangan segala-galanya selepas rumah dan bengkel mereka serta tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran dekat sini petang Selasa menerima sumbangan dari Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


Derma untuk mangsa kebakaran, Japirin Sani di Kg Lohan 1 itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda Bersama para kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau yang mewakili Jonathan.


Benedict yang ditemui selepas penyerahan itu memberitahu bahawa YB MP bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan berharap agar sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu mereka.


“Kita difahamkan bahawa punca kebakaran dan juga anggaran kerugian yang dialami oleh mangsa dan keluarganya masih dalam siasatan.


“Semoga keluarga ini tabah menghadapi dugaan yang dialami dan semoga sumbangan ikhlas ini dapat membantu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan keluarganya,” kata beliau.


Terdahulu, Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian kebakaran tersebut berlaku di hadapan simpang 1 SK Lohan Ranau, kira-kira jam 2.20 petang hari Selasa.


“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.27 petang dan sekumpulan 8 anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK II Wasli Saupin bergegas ke lokasi.


“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 9 kilometer dari balai, kita dapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dan bengkel persendirian jenis kekal berkeluasan 30×45 kaki persegi 100% hangus.


“Turut terlibat ialah 7 kenderaan dalam proses pembaikan yang musnah 100%. Kepupusan menggunakan 1 aliran 100 kaki 2 pancutan air dari tangki jentera,” katanya.


Menurut Ridwan, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain, dan operasi tamat pada 4.30 petang hari Selasa,” katanya.


Sementara itu, Benedict turut menyeru kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan kejadian kebakaran terutama pada musim panas, kering dan angin berangin sekarang.


“Orang ramai perlu mengutamakan keselamatan terlebih dahulu kerana kebakaran di kawasan lapang mudah menjadi tidak terkawal dan boleh menjadi bencana dengan risiko kehilangan aset berharga, rumah dan juga nyawa.

“Sekiranya terdapat pembakaran terbuka yang tidak dapat dielakkan, ia mesti dipantau dan dikawal, bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.


Dalam pada itu, Ridwan memberitahu bahawa jika berlaku sebarang kecemasan atau ada keperluan untuk perkhidmatan Khas, orang awam boleh menghubungi BOMBA RANAU di talian 24 jam (088-878779), talian hotline 019-2449348 atau mendail 999.


Beliau berkata, setiap anggota bomba dan penyelamat di daerah ini bersiap siaga dan bersedia bertindak terhadap sebarang kejadian kebakaran di daerah ini memandangkan keadaan berisiko tinggi berlaku ketika ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN