PERALATAN PEMBINAAN RUMAH….Justinus mewakili Datuk James Ratib menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran.
PENAMPANG : Penduduk dari sekitar perkampungan Dewan Undangan Negeri Sugut yang terlibat dengan insiden kebakaran rumah di Kg. Babah, Penampang terus mendapat pembelaan wakil rakyat mereka.
Datuk James Ratib pada Sabtu telah menghulurkan bantuan berupa barangan makanan, pakaian dan wang ringgit kepada 13 buah keluarga yang berasal dari sekitar perkampungan di Dun Sugut tetapi menetap di Kg. Babah, Penampang akibat tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka ranap dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

Sehubungan itu, pada Selasa sekali lagi pemimpin itu tampil menghulurkan bantuan susulan berupa peralatan membina semula kediaman 13 keluarga terbabit. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil beliau Justinus Jalang, selaku Penyelia Masyarakat Dun Sugut di kedai peralatan MP Machinery dekat sini.
Dalam pada itu, James turut menasihati semua mangsa terlibat agar menjadikan insiden tersebut suatu pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelak sebarang insiden serupa berulang. Katanya, keselamatan kebakaran perlu diutamakan khasnya yang membabitkan peralatan elektrik dan bahan memasak di dapur.
“Jangan lupa pastikan setiap suis elektrik dan tong gas di dapur sentiasa diberikan perhatian setiap masa. Begitu juga jika ada kanak-kanak kecil dirumah, jangan biarkan pemetik api atau apa sahaja barangan sensitif api terbiar bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti kebakaran”, tegas James dalam satu kenyataan.