Rubin (kanan) menyampaikan bantuan wang ehsan kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Alutok.
TENOM : Seramai 2072 mangsa banjir di Daerah Kecil Kemabong menerima wang ehsan bantuan banjir 2021 sebanyak Rm500.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Datuk Rubin Balang berkata, bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini bukti Kerajaan amat prihatin kepada rakyat di kawasan pedalaman yang terjejas dengan bencana banjir pada tahun 2021.
Katanya, bencana banjir besar yang berlaku itu adalah yang terbesar sejak tahun 1980-an yang telah melanda daerah ini hingga banyak kerosakan dan kerugian harta benda rakyat.
“Pengagihan bantuan banjir ini mengalami sedikit kelewatan kerana atas sebab tertentu iaitu nama penerima ketua isi rumah perlu disemak semula agar tidak ada penerima bantuan yang layak tercicir dari senarai penerima bantuan kerana ada di antara mangsa yang tidak dapat pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Selain itu, untuk memudahkan bantuan diagihkan tanpa sebarang masalah, mesyuarat telah diadakan beberapa kali dengan semua pegawai jabatan yang berkaitan bagi memastikan kesemua penerima bantuan mendapat bantuan banjir secara adil dan sama-rata.
“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah membantu menyelaraskan bantuan wang ehsan banjir kepada rakyat di daerah ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Ehsan Banjir 2021 Dun N.43 Kemabong, di Dewan Terbuka Kampung Alutok, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat termasuklah pihak berkuasa dalam pengagihan bantuan wang ehsan banjir di daerah Kecil Kemabong.
“Selama beberapa hari ini, mereka telah memberikan komitmen dan kerjasama kepada masyarakat dalam melancarkan pengagihan bantuan wang ehsan banjir tanpa sebarang masalah yang tidak diingini berlaku.
“Kita mengharapkan agar bantuan seumpama ini akan dapat meringankan beban penduduk kampung yang terjejas akibat bencana alam yang berlaku dua tahun yang lalu,” katanya.
Sebanyak RM1.03 juta peruntukan yang disalurkan oleh NADMA menerusi Jabatan Kebajikan dan Pejabat Daerah Kecil Kemabong untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah ini yang telah berlangsung selama empat hari mengikut Mukim seperti Mukim Enubai, Mukim Sapong, Mukim Kemabong, Mukim Kuala Tomani dan Mukim Ulu Tomani.
Hadir sama, Pegawai Daerah Tenom, Mas Syazwan Hj Masood, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, En. Zakharia Jamal, PPM N.43 Kemabong, Suffainder Sukimin, Pegawai Kebajikan Daerah Kecil Kemabong, Puan Carol, para pemaju mukim dan pihak berkuasa.



