Mamat Khalid meninggal dunia

Home Hiburan Mamat Khalid meninggal dunia
Mamat Khalid meninggal dunia

Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung malam tadi.

Berita pemergian Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, dikongsikan oleh penyair Pyanhabib di Facebooknya.

“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita berpulang.

“Sahabat saya, pengarah filem Mamat Khalid, menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulis Pyanhabib.

Difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River kira-kira pukul 11.25 malam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata Allahyarham pengsan di Sarang Art Hub Tanjung Malim dan dikerjarkan ke Hospital Slim River menaiki ambulans.

“Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir di dalam ambulans.

“Maklumat awal yang Seniman perolehi, jenazah akan dikebumikan di Ipoh esok,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Katanya, seluruh kepimpinan tertinggi Seniman Malaysia serta barisan exco dan ahli-ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seniman mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Mamat dikenali dengan filem-filem arahannya antaranya Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan banyak lagi.

Selain itu Allahyarham juga diingati dengan drama-drama komedi arahannya antaranya Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa. 

Allahyarham juga merupakan penulis skrip bagi filem epik legenda Puteri Gunung Ledang, yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir.

Sementara itu, Tiara dalam post terkini di akaun Instagramnya awal pagi ini menzahirkan rasa dukanya di atas pemergian Allahyarham yang begitu rapat dengannya. –Awani