ADVERTISEMENTspot_img

MALAM SENANDUNG AIDILFITRI 2026 PAPIM BERJAYA ERATKAN SILATULRAHIM DENGAN PENDUDUK KG PIMPING

RASMI…Awang Dzulkernain sedang menyampaikan ucapan perasmian.Turut kelihatan Pengerusi Penganjur, Nor Isham Narawi.

MEMBAKUT: Penganjuran Malam Senandung Aidilfitri oleh Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak Pimping KK (PAPIM) bukan saja dapat memberikan peluang kepada ahli persatuan itu bertemu dengan sanak saudara tetapi juga dapat mengeratkan lagi ikatan silatulrahim dengan masyarakat kampung.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Awang Dzulkernain Haji Ag Hassan yang juga Penasihat PAPIM berkata penganjuran program ini memberikan peluang untuk ahli-ahli PAPIM yang berada di perantauan untuk balik kampung berkumpul dengan ‘ dangsanak’ dan saudara mara serta sahabat handai yang lain setelah sekian lama tidak berjumpa.

” Melalui program ini kita bukan saja dapat bermaaf-maafan sempena Hari Raya Aidilfitri tetapi juga kenal mengenali antara satu dengan lain terutama sekali generasi baharu yang jarang bertemu kecuali pada majlis keramaian seperti khawin dan kenduri” kata Dzulkernain semasa berucap merasmikan Malam Senandung Aidilfitri PAPIM di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping Membakut pada malam Sabtu lepas.

Beliau berharap program seperti ini dan kebajikan serta keagamaan yang sering dianjurkan oleh PAPIM akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

CENDERAHATI ..Hj Ahmad menyampaikan cenderahati kepada perasmi, Awang Dzulkernain sambil diperhatikan oleh pemimpin- pemimpin PAPIM- Foto: Mohd Nizam Abdullah.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi PAPIM, Hj Ahmad Dipong berterima kasih kepada semua masyarakat kampung untuk memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di kampung kelahiran semua ahli-ahli PAPIM ini.

Hj Ahmad berkata AJK PAPIM memutuskan untuk mengadakan majlis ini untuk memberi peluang kepada barisan kepimpinan dan ahli-ahli PAPIM bertemu dengan sanak saudara, sahabat handai dalam suasana santai.

Beliau berkata PAPIM akan terus mengiatkan lagi aktivitinya termasuk di kampung ini.

Hj Ahmad berkata program ini adalah yang kedua diadakan di Kampung Pimping untuk tahun ini kerana PAPIM juga turut mengadakan aktiviti keagamaan di Surau Kg Sijamban awal tahun ini untuk menggantikan Program Baurung-Urung yang pernah diadakan di Pantai Pimping pada 2024.

MENJAMU SELERA.. Dari kiri Ketua Penerangan PAPIM, Hj Mohd Amin Hj Muin, Nor Isham, Awang Dzulkernain, Hj Ahmad dan Naib Ketua, Puan Nismah Kanak.

Menutut beliau PAPIM juga semasa Aidilfitri Tahun 2025 menganjurkan Pertandingan Mangual Beduk dan Dart untuk ahli PAPIM dan terbuka di Perkarangan Masjid Assa’adah Kg Pimping.

Pada majlis ini PAPIM juga turut melancarkan Lagu Rasmi PAPIM yang bertajuk ‘ Anak Pimping Sejati’ ‘ hasil ciptaan, anak kepada Penolong Setiausaha Agung PAPIM, Nor Isham Narawi dengan menyampaikan lagu itu secara beramai-ramai.

Pelbagai acara menarik diadakan pada malam itu antaranya Pertandingan Akhir Karaoke Lagu2 Hari Raya Aidilfitri, Persembahan Khas oleh enam Penyanyi Otai- Kg Pimping dan cabutan Pengunjung Bertuah yang menyediakan lebih 50 pelbagai hadiah menarik.

Turut hadir semua AJK Tertinggi PAPIM dan ratusan prnduduk kampung termasuk Ketua Kampung, KK Hassan Hj Lamit.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN