.MD YUSOF (tiga kiri) dan Mohd Nizam (tiga kanan) bersama Tokoh Sahsiah Unggul Murid SMK Labuan 2022.
LABUAN: Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid SMK Labuan (MAKES) diharap mampu menyuntik semangat murid untuk terus mencipta kejayaan dalam pelbagai aspek sama ada akademik, kokurikulum mahu pun sahsiah.
Harapan itu disuarkan oleh Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Md. Yusof Chuchu ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid SMK Labuan (MAKES) 2022 yang bertemakan “Melahirkan Anak Yang Baik Lagi Cerdik”, di Dewan Mutiara sekolah berkenaan pada Sabtu lalu.
“Saya berharap agar MAKES menjadi penyuntik semangat kepada semua murid di SMK Labuan untuk terus mencipta kejayaan dalam pelbagai aspek,”.
“Kejayaan murid pada hari ini adalah hasil kerja keras dan komitmen guru-guru di samping kerjasama daripada ibu bapa serta usaha murid itu sendiri,”katanya.
Pada majlis itu, Md Yusof turut menyampaikan sijil tamat persekolahan kepada 215 graduan Tingkatan 5, Md Yusof turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada murid-murid yang telah mencapai tempat terbaik dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim berkata majlis itu diadakan bagi memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang kurikulum, Ko Kurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM).
“Majlis kali ini juga diadakan serentak dengan majlis graduasi Tingkatan 5 dengan melibatkan kira-kira 430 murid secara keseluruhannya.
“Saya ucapkan terima kepada 127 orang guru yang sentiasa komited mendidik kira-kira 1,734 orang pelajar SMK Labuan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam,”katanya berucap pada majlis tersebut.
Pada majlis itu, pihak sekolah menganugerahkan Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) kepada Hani Syafika Abd Halim bagi SUMUR Tingkatan Enam, pelajar tamat Tingkatan Lima dan sedang menyambung belajar, Howard Hii Dai Jie (Tokoh SUMUR Arus Perdana sesi pagi) dan pelajar Tingkatan Tiga, Moses Yii Xi Hong (Tokoh SUMUR Arus Perdana sesi petang).
Sementara itu, Putera dan Puteri Ko-Kurikulum 2022 diraih dua pelajar Tingkatan Tiga, Awang Mikail Shariff Kamel dan Natalie Ching Ming Hui.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Perhubungan Sekolah, ASP Francisca Duliat, Naib YDP PIBG, Susanna Koh dan Penolong Kanan HEM, Jamaliah Razali yang juga Penyelaras MAKES 2022.
Hadir sama Penolong-penolong Kanan, Kitli Beka (Pentadbiran), Saminan Sabtu (Pusat Tingkatan Enam), Cheah Tiong Aik (Kokurikulum) dan Abdul Ghafar Salleh (Penyelia Petang).