Benedict (tengah) menyampaikan ‘Duit Raya’ kepada para pelajar PPDK sempena majlis tersebut.
OLEH; SALWAH ARAMAT
RANAU,: Majlis Ramah Mesra Hari Raya dan Pesta Kaamatan anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau berlangsung meriah di Dewan PPDK Ranau, baru-baru ini, dengan menghimpunkan warga PPDK, ibu bapa, tetamu jemputan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.
Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, yang mewakili Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Dalam ucapannya, Benedict berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan, malah menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan, memupuk sikap saling menghormati serta menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, PPDK juga memainkan peranan penting sebagai institusi yang membantu membangunkan potensi individu berkeperluan khas melalui sokongan berterusan daripada keluarga, masyarakat dan pelbagai agensi berkaitan.
“Program seperti ini bukan sekadar medan pertemuan, tetapi turut menjadi lambang kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan berkeperluan khas, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan yang amat diperlukan dalam usaha membangunkan potensi mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Jaibi @ Jabay Surugau, berkata majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada PPDK Ranau, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga PPDK, ibu bapa dan komuniti setempat.
Menurutnya, semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi program sedemikian diharap dapat terus memperkukuh kerjasama semua pihak demi kesejahteraan dan pembangunan golongan berkeperluan khas di daerah ini.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya penyampaian duit raya kepada pelajar PPDK sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan, persembahan koir, jamuan Hari Raya dan Kaamatan serta sesi ramah mesra yang berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni.
Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen PPDK Ranau dalam menyemarakkan semangat perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan, selaras dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, prihatin dan saling menyokong.



