26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Disember 12, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Kampung Guakon: Langkah Ke Arah Pembangunan Luar Bandar Yang Lebih Mampan

TERBAIK …. Jahid (empat kanan) mengabadikan gambar di lokasi Pecah Tanah, bersama wakil-wakil jabatan, serta para pemimpin di Kampung Guakon.

TAMPARULI: Impian penduduk Kampung Guakon untuk memiliki jalan yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan dengan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Guakon. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, beliau amat berbesar hati merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Kampung Guakon yang menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan asas yang berkualiti untuk masyarakat luar bandar.

Katanya, beliau amat memahami keperluan masyarakat setempat terhadap sistem jalan raya yang lebih baik. 

“Kemudahan ini bukan sahaja akan memberikan keselesaan kepada penduduk, tetapi juga memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi, pendidikan, dan sosial di sini,”. 

“Dengan infrastruktur jalan yang lebih baik, para penduduk dapat bergerak dengan lebih selesa dan selamat ke kawasan bandar untuk urusan harian, perniagaan, serta mendapatkan akses kepada perkhidmatan penting seperti kesihatan dan pendidikan,” tambah Jahid.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, menghargai semua pihak yang telah berusaha bagi merealisasikan projek ini, termasuklah pemimpin terdahulu dan pemimpin sedia ada yang tidak pernah berhenti berusaha untuk memastikan keperluan rakyat diberi perhatian. 

“Kesabaran dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha ini amat dihargai, dan kini kita dapat melihat hasilnya, di mana projek naik taraf jalan seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuhkan infrastruktur luar bandar di seluruh Sabah.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Sabah, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, komited untuk terus memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya yakin bahawa dengan siapnya projek ini kelak, ia akan membawa manfaat besar kepada penduduk Kampung Guakon dan kawasan sekitarnya. 

“Semoga kemudahan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan yang akan datang, seiring dengan matlamat dan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, wakil Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, serta wakil-wakil jabatan dan pemimpin masyarakat sekitar Tamparuli. 

Kehadiran mereka mencerminkan kesepaduan antara pihak kerajaan, agensi pelaksana, dan masyarakat dalam memastikan pembangunan tersebut berjalan dengan lancar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN