Dr. Linah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Hamidah (kiri)
TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun (BKD), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent buat julung kalinya menganjurkan Majlis Kesyukuran Toluod Puhawang dan Apresiasi Jabatan Bahasa Kadazandusun di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut neganbil tema Mongunsikou, Mamarayou om Manampasi Koubasanan (MMK) yang bermaksud berterima kasih, merai dan mengekalkan kelangsungan budaya yang diamalkan.
Majlis itu diadakan untuk menzahirkan kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan program Toluod Puhawang Kaamatan (Karnival Kaamatan, Majlis Makan Malam Amal dan Majlis Pelancaran Bahan Sokongan Bahasa Kadazandusun) pada 22 Mei 2024 yang lalu.
Ia juga diadakan bagi merai dan menghargai pencapaian cemerlang semua pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent dalam penganjuran pelbagai aktiviti selain melaksanakan tugas-tugas rutin dengan sempurna dan cemerlang.
Di antara pensyarah yang menerima penghargaan ialah Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, John Gitom, Victor Baga, Dr. Wilfred Dousip, Dr. Rosie Johnny, Rosmawati Ebbie, Dr. Saimin Ginsari, Amidy Malagob dan James Geoferrey W. Molijoh (telah bersara).
Beberapa individu yang mewakili jabatan dan unit dalam kampus serta organisasi rakan strategik IPGM Kampus Kent iaitu Taufik Rosman dari Wikimedia Malaysia dan Sitiamah Hj. Sahat, Guru Besar SK Kindu Tuaran turut diberi penghargaan.
Majlis ini juga dilaksanakan bagi menghargai pencapaian cemerlang siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent dalam bidang akademik dan kokurikulum serta meraikan sambutan setahun penubuhan Kelab Wiki Kent yang dikendalikan oleh Jabatan BKD.
Majlis kesyukuran dan apresiasi Jabatan Bahasa Kadazandusun itu telah dirasmikan oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus (IPGM) Kampus Kent, Tuaran iaitu Dr. Hamidah Binti Samsudin.

Dr. Hamidah (tengah) dan Dr. Linah bersama penerima Anugerah Rakan Strategi Terbaik, Pensyarah Bahasa Kadazandusun serta siswa guru PISMP Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent, Tuaran
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Hamidah menekankan pentingnya usaha berterusan dalam memartabatkan bahasa Kadazandusun serta harapan beliau agar program seperti ini dapat dijalankan dengan lebih giat lagi pada masa akan datang.
Ini, katanya, bagi memperkukuhkan usaha memelihara dan mengembangkan bahasa serta budaya Kadazandusun ke peringkat yang lebih membanggakan.
Sementara itu, Dr. Linah turut menyampaikan ucapan dengan menekankan betapa pentingnya peranan rakan strategik, para pensyarah, siswa guru dan warga organisasi keseluruhannya dalam menyokong usaha mengangkat dan memartabat BKD ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau menyatakan bahawa pencapaian BKD di IPGM kampus Kent yang cemerlang dan membanggakan pada ketika ini merupakan hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak yang terlibat.
Di antara anugerah yang disampaikan semasa majlis tersebut adalah Anugerah Kecemerlangan Siswa Guru bagi kategori akademik, sukan dan permainan, kelab dan persatuan dan unit beruniform berdasarkan kriteria prestasi terbaik dalam bidang tersebut.
Anugerah Kecemerlangan kepada individu dalam kategori Rakan Strategik Terbaik, Kepelbagaian Kebolehan Pensyarah Bahasa Kadazandusun dan Jaringan Profesional turut diberikan kepada mereka yang berkenaan. Dr. Hamidah turut dianugerahkan Pengarah Paling Menyokong (Osokodung).
Sambutan Ulang Tahun Setahun Kelab Wiki Kent turut dilaksanakan pada majlis tersebut untuk memperingati penubuhan Kelab Wiki Kent.
Kelab Wiki Kent telah dirasmikan pada 18 Ogos 2023 oleh Dr. Hamidah di Suntec Convention and Exhibition Centre sempena Wikimania Singapore 2023 di Singapura.
“Diharapkan usaha sebegini diteruskan demi kelangsungan dalam melakar kejayaan IPGM Kampus Kent khususnya Jabatan BKD di persada dunia serta dapat membentuk bakal guru yang berkualiti dan bernyalarasa dalam memartabatkan BKD yang menjadi kebitaraan atau Tier Satu IPGM Kampus Kent, Tuaran,” katanya.