GAMBAR: SERAH: Mohd Ajib (kiri) Menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Al Ehsan Sungai Labu, Sudin Samad.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM759,000 untuk membantu masjid dan surau melaksanakan aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan disamping membantu memperkasakan aktiviti pentadbiran masjid dan surau.
Sumbangan itu melibatkan 16 buah masjid, 16 surau Jumaat dan 29 surau.
Setiap masjid menerima sebanyak RM15,000 manakala surau Jumaat menerima sumbangan RM12,500 dan surau RM11,000.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiauhsaha MAIWP, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail di Dewan Al-Fateh pejabat MAIWP Labuan, pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad serta pegawai dan kakitangan yang terlibat.
Pada majlis yang sama, Mohd Ajib turut menyampaikan watikah pelantikan 45 amil untuk mengutip Zakat Fitrah yang melibatkan 31 kawasan di sekitar Labuan.
Mohd Ajib berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu RM7.00, RM14.00 dan RM21.00 dan bayaran zakat Fitrah boleh dibuat berpandukan kemampuan pembayar.