Datuk Dr Mohd Na’im.
LABUAN: Sebanyak 65 buah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Labuan menerima sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1,550,000.00 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Daripada jumlah itu sebanyak 17 buah masjid menerima peruntukan berjumlah RM510,000.00, 16 Surau Jumaat menerima peruntukan berjumlah RM400,000.00 dan 32 lagi surau biasa menerima peruntukan berjumlah RM640,000.00.
Kesemua peruntukan melalui dana zakat itu akan dimasukan terus ke akuan setiap masjid dan surau sebagai usaha membantu mengimarahkan Ramadan diseluruh masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Terdahulu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata secara keseluruhannya MAIWP telah memperuntukan sumbangan Ramadan sebanyak RM19.03 juta kepada 871 masjid dan surau yang melibatkan Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Labuan.
Beliau berkata, pada tahun ini setiap masjid diperuntukan sebanyak RM30,000, surau Jumaat (RM25,000) dan surau biasa sebanyak RM20,000, iaitu kenaikan sekali ganda berbanding tahun lepas.
“Ini merupakan antara keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan termasuk keperluan di masjid dan surau.
“Semoga dengan pertambahan bantuan tahun ini serta sumbangan ahli kariah akan menjadikan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan meriah, ceria dan berseri dengan pengisian program pengimarahan dan aktiviti ibadah, kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan nanti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2024M di Kuala Lumpur pada sini hari ini.
Selain itu, Mohd Na’im berkata MAIWP turut menyalurkan Bantuan Khas Persediaan Ramadan RM500 secara one off melibatkan 32,250 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Wilayah Persekutuan dengan perbelanjaan berjumlah RM16.125 juta.