SIMBOLIK…Simsudin menyerahkan Cek Cura bernilai RM1.6 juta kepada salah seorang asnaf sambil diperhatikan Md Fadzli (kiri sekali) Dan Mohd Alias.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan RM1.6 juta, bagi perlaksanaan inisiatif agihan bantuan makanan berbungkus untuk golongan asnaf di pulau ini.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata bantuan itu diagihkan dengan membekalkan 600 bungkus makanan bermasak di tiga lokasi berbeza terpilih untuk tempoh setahun bermula Januari hingga Disember tahun lalu.
“Bantuan tersebut merupakan inisiatif MAIWP dalam membantu asnaf, golongan terjejas dan B40 bagi mendapatkan bekalan makanan secara percuma disamping membantu meringankan beban asnaf dalam menampung perbelanjaan keperluan makanan harian”, katanya ketika berucap merasmikan Program Iftar Ramadan Bersama Asnaf MAIWP 2025 yang diadakan di dewan Desa Tunas di sini, baru baru ini.
Selain itu katanya, MAIWP juga telah memperuntukan sebanyak RM 39 juta untuk agihan Bantuan Sara Hidup yang melibatkan lebih 6,000 asnaf.
Katanya, sehingga bulan Febuari yang lalu MAIWP telah membelanjakan lebih RM65 juta untuk di agihkan kepada semua penerima dan ini mencerminkan kesungguhan MAIWP untuk membantu mereka yang memerlukan.
Pada majlis itu seramai 240 Ketua keluarga asnaf menerima sumbangan bakul makanan membabitkan kos RM36,000.
Manakala seramai 100 anak anak asnaf menerima duit raya sebanyak RM50 seorang.
Dalam pada itu, Surau Fath Al-Bari Pusat Koreksional Labuan turut menerima sumbangan bernilai RM50,000 bagi pelaksanaan program pendidikan dan kerohanian prospek.
Hadir sama Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md. Fadzli Md. Saad, Penolong Pengurus Unit Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP Labuan, Mohammad Haziq Abang Sapri dan Pemilik Dewan Desa Tunas, Datuk Sri Alias Abdul Rahman.



