Md Fadzli menyerahkan Insentif Biasiswa MAIWP kepada salah seorang pelajar IPTA.
LABUAN:Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyalurkan dana zakat bernilai RM6.5 juta menerusi Bantuan Khas Ramadan dan Aidilfitri tahun ini kepada 6,500 golongan asnaf yang berdaftar dengan MAIWP.
Pengurus MAIWP Labuan, Md.Fadzli Md.Saad berkata setiap asnaf yang juga penerima bantuan bulanan MAIWP menerima RM1,000 yang akan disalurkan terus ke akaun masing masing secara berperingkat dua kali iaitu sebelum Ramadan dan sebelum Aidilfitri.
“Bagi bantuan Ramadan pihak MAIWP telahpun menyalurkan bantuan itu kedalam akaun penerima sebanyak RM500 bermula Rabu lalu dan RM 500 lagi akan disalurkan sebelum menjelang Aidilfitri”, katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Biasiswa Pelajar Cemerlang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, selain itu MAIWP juga telah meluluskan peruntukan wang Zakat sebanyak RM 54,000.00 untuk disalurkan kepada 180 pelajar anak Yatim Darul Kifayah dan pelajar sekolah Agama MAIWP menerusi Bantuan Aidilfitri.
“Setiap pelajar menerima sebanyak RM 300 yang akan disalurkan ke dalam akaun masing masing sebelum menjelang Aidilfitri” katanya.



