PRIHATIN…..Mohd. Nizam menyerahkan bantuan perubatan secara simbolik kepada isteri Mulok (Tina Minggo) sambil diperhatikan Ustaz Md. Fadzli (dua dari kanan)
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Labuan, bukan sahaja kepada golongan asnaf, atau mereka yang terjejas akibat dilanda musibah, tetapi juga pesakit yang memerlukan bantuan perubatan.
Sehubungan dengan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya yang melakukan lawatan kerja dua hari ke Labuan baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan perubatan kepada dua buah keluarga yang berdepan dengan masalah kesihatan.
Antara pesakit yang disantuni beliau ialah Mulok Mumin, 76, seorang pesara kerajaan yang terlantar akibat mengidap sakit kronik Infeksi Bakteria Kedua (Sespis Secondary To Esbl Bacterimia) sejak April 2021.
Beliau yang menanggung seorang isteri dengan menggunakan wang persaraan menerima bantuan kerusi roda dan lampin pakai buang untuk tempoh setahun berjumlah keseluruhan RM10,100.00.
Selain itu Mohd Nizam juga menyantuni keluarga Mohamad Rozhan Abdul Hamid, 44, bekerja sebagai pengawal keselamatan yang terpaksa menanggung perbelanjaan untuk membiayai kelengkapan penyediaan salah seorang anaknya yang mengidap ‘Down Sidrom” sejak lahir.
Selain itu beliau terpaksa menanggung dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
Manakala isteri beliau terpaksa menjual burger bagi menambah pendapatan keluarga.
Prihatin dengan keadaan keluarga Mohamad Rozhan, MAIWP meluluskan bantuan makanan tambahan Milo Actigen ESP sebanyak 2kg untuk kegunaan sebulan dan lampin pakai buang untuk kegunaan anakya yang mengalami ‘down sibdrom’ berjumlah RM 3,648.00 bagi tempuh setahun.
Sebelum ini MAIWP juga telah meluluskan Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP sebanyak RM500 dan Bantaun Am Persekolahan masing-masing benilai RM600 dan RM400 setahun, serta menerima bantuan tambang untuk keperluan dua anak mereka yang masih bersekolah.
Turut sama dalam lawatan itu, Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAIWP, Ir. Abdul Karim Mohamed.