BERBUAL.…. Ustaz Md Fadzli (duduk) berbual mesra bersama Asna selepas menyerahkan mesin yang diperlukan sambil diperhatikan oleh Sulaiman (berdiri kiri sekali)
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP) menghulurkan satu unit mesin bantuan pernafasan (mesin oksigen) melalui Skim Bantuan Kesihatan kepada puan Asna Abdullah yang mengalami sakit kronik paru-paru sejak sekian lama.
Majlis penyerahan mesin alat pernafasan yang bernilai RM4,580.00 itu disampaikan oleh Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad sempena program turun padang dan kunjung ziarah pesakit berkenaan di kediamannya di Kampung Tanjung Aru, pada Selasa.
Selain itu, MAIWP juga turut menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pesakit berkenaan bergerak.
Asna juga merupakan penerima bantuan bulanan daripada MAIWP sejak dua tahun lalu.
Ustaz Md Fadzli berharap dengan adanya bantuan tersebut sedikit sebanyak akan dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh pesakit berkenaan sekaligus meringankan beban ahli keluarga pesakit khususnya suami beliau yang tidak berkemampuan untuk membeli mesin pernafasan yang diperlukan oleh isterinya.
“Bantuan ini juga memperlihatkan kepada pembayar zakat kemana sebenarnya wang zakat ini diagihkan….MAIWP Labuan juga mengalu-alukan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan bantuan yang bersesuaian daripada MAIWP” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan peralatan tersebut.
Sementara itu, suami pesakit berkenaan, Sulaiman Ahmad, 59, mengucapkan terima kasih kepada MAIWP Labuan yang telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk pembelian mesin bantuan pernafasan yang diperlukan oleh isteri beliau.
“Saya tidak mampu untuk membeli mesin yang harganya mencecah ribuan ringgit. Saya amat bersyukur dengan bantuan MAIWP ini akan memudahkan isteri saya untuk bernafas disamping dapat bergerak bebas” katanya.