GAMBAR: CENDERAHATI…. Mohd Daud (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Abdul Hakim Amir Osman pada majlis Majlis Tautan Kasih sempena Mesyuarat Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN).
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan hasil pungutan zakat berjumlah RM585.21juta sehingga bulan Oktober pada tahun ini.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, hasil itu digunakan untuk pelbagai jenis agihan antaranya dengan menawarkan 30 skim bantuan khusus untuk asnaf yang berada di Wilayah Persekutuan terdiri dari pelbagai aspek antaranya bantuan ekonomi, perubatan, pendidikan dan lain-lain lagi.
“Melalui skim-skim bantuan inilah pihak MAIWP dapat membantu lebih ramai golongan asnaf sekaligus dapat membangunkan taraf ekonomi umat Islam khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan di tengah-tengah waktu darurat pandemik ini,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Tautan Kasih sempena Mesyuarat Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN), di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, sistem semakan permohonan agihan zakat antara negeri-negeri akan diwujudkan bagi mengatasi masalah pertindihan penerima bantuan zakat antara Majlis Agama Islam Negeri- Negeri (MAIN).
Katanya, pembangunan sistem ini nanti akan diketuai oleh Majlis Agama Islam Terengganu (MAIDAM). Terima kasih MAIDAM atas usaha penambahbaikan ini yang saya kira ianya akan menjadi satu usaha yang sangat baik bagi melicinkan lagi gerak kerja aktiviti pengurusan zakat di seluruh negeri. Kerjasama strategik sebegini menunjukkan kebersamaan kita dalam menguruskan zakat.
Selain itu beliau mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri kerana telah mengambil langkah proaktif bagi menangani impak COVID 19 kepada golongan asnaf dengan menyediakan pelbagai insentif dan bantuan khas zakat COVID 19.
“Usaha ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri iaitu Majlis Agama Islam Negeri di setiap negeri hendaklah mengambil langkah membantu mereka yang memerlukan bantuan termasuk golongan yang terjejas pendapatan ketika pandemic COVID 19”, katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP, Mahadi Sukarno, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Melaka merangkap Pengerusi MPZN 2022, Datuk Ibrahim Fadzil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MAIWP, Dr Haji Asmadi Abdul Rahman dan Pengurus Bahagian Baituilmal MAIWP, Ustaz Talmizi Yahya.