Oleh: JURRY FOO (gambar atas)
Pengarah Pusat Kokurikulum dan
Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia
Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. https://www.facebook.com/pkppumskk
DIGITAL HERO menjulang nama UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) di peringkat antarabangsa setelah dinobatkan Johan Inovasi terbaik dalam Talk show Mahasiswa Indonesia-Malaysia bertemakan ‘Kreativitas dan innovasi mahasiswa Era Pandemi’. Digital Hero oleh pasukan INTERIM (Interaksi Masyarakat) dibentangkan oleh dua orang mahasiswa iaitu Muhammad Iman Bin Azhar dan Martika Muhamad Rezuan. Mereka turut merangkul hadiah utama sebagai pembentang terbaik dan menjadikan UMS tersenarai dalam tiga terbaik sebagai universiti Inovatif. Pemilihan juri adalah berdasarkan kepada hasil ciptaan yang relevan dengan situasi pandemik akibat COVID-19 di mana ia adalah sesuatu yang baharu atau pembaharuan, mempunyai nilai kepada komuniti, mesra komuniti dan telah diaplikasikan dalam komuniti.
Menurut Pengarah Politeknik Aceh Selatan, Dr. Muhammad Yasar, acara ini diadakan sebagai platform kepada mahasiswa beradaptasi dengan normal baharu akibat pandemik di mana masyarakat perlu bijak menghadapi pelbagai situasi dengan kreatif dan inovatif di samping permulaan kepada hubungan kerjasama antara institusi pengajian tinggi kedua-dua buah negara. Ini selari dengan matlamat hasil pembelajaran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS dalam membentuk kemahiran insaniah pelajar khususnya dari segi kepemimpinan dan interpersonal serta tanggungjawab kepada masyarakat.

PEMENANG..Martika dan Muhammad Iman
Keputusan UMS melalui PKPP menghantar peserta untuk menyertai pertandingan ini dilakukan kerana keyakinan kepada keupayaan mahasiswa yang telah mengikuti kursus kokurikulum berkredit di PKPP. Selain daripada keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan aktiviti pemajuan pelajar seperti SPRINT dan Karnival Kokurikulum, ini juga membuktikan keupayaan pensyarah-pensyarah di PKPP seperti En, Juhar Harun dan Puan Stella @ Nurul Martini Gontol (pensyarah pembimbing) mampu menjalankan amanah membimbing dan mengurus peserta ini walaupun hanya melalui interaksi dalam talian. Pencapaian ini juga akan menjadi panduan kepada PKPP untuk terus memperkasakan PdP dan aktiviti pemajuan demi membentuk mahasiswa yang benar-benar holistik seiring degan misi dan visi UMS, kampus Rahmah. PKPP UMS semasa tempoh pandemik telah mengaplikasikan PdP dalam talian yang dikendalikan melalui pelbagai platform terutama sekali SmartV3 yang diperkanalkan oleh pihak UMS. Manakala sistem penyampaian PdP bukan sahaja tertakluk kepada kuliah konvensional, tetapi lebih kepada interaksi dua hala yang berpusatkan pelajar seperti sesi perbincangan, projek mini, permainan dan seumpamanya.
Acara yang julung kali dianjurkan oleh Politeknik Aceh Selatan (POLTAS) secara dalam talian itu disertai oleh 12 buah Institusi pengajian tinggi dari Malaysia dan Indonesia iaitu dari negara jiran diwakili Universitas Syiah Kuala (USK), Politeknik Caltex Riau (PCR), Universitas Widya Kartika Surabaya (Uwika), Politeknik Aceh Selatan (Poltas), Politeknik Perkapalan Negeri Surabaya (PPNS), dan Akfar YPPM Mandiri Banda Aceh. Manakala Malaysia terdiri-dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Kolej Universiti Polytech Mara Kuala Lumpur (KUPTM) mewakili Malaysia.
Keputusan keseluruhan pertandingan ini adalah bagi kategori pembentangan terbaik: 1. Muhammad Iman bin Azhar dan Martika Muhamad Rezuan (UMS), 2. Nurul Hidayati (YPPM) dan 3. Andrew Saragih (USK). Kategori Inovasi Terbaik: 1. Digital Hero (UMS), 2. Meukat (Poltas), dan 3. OLES (KUPTM). Kategori Kampus Terkreatif: 1. Politeknik Aceh Selatan, 2. Universitas Syiah Kuala, dan 3. Universiti Putra Malaysia. Kategori Kampus terinovatif: 1. Kolej Universiti Polytech Mara Kuala Lumpur, 2. Universiti Malaysia Sabah, dan 3. Akademi Farmasi YPPM Mandiri Banda Aceh.