Oleh: Dr. Sharifah Rahma Amirul
Penyelaras, Pusat Kokurikulum Dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
DUNIA kampus merupakan satu perjalanan hidup yang perlu diterokai dengan cara yang lebih bermakna. Pelajar tidak seharusnya terperangkap dalam mengejar akademik semata-mata, ia harus dihargai dengan perjalanan yang lebih ceria serta menikmati kehidupan muda mereka.
Sukan merupakan salah satu warna kehidupan yang mampu memberi manfaat kepada pelajar sekiranya diterokai dengan cara yang lebih strategik. Anggapan bahawa sukan hanya untuk atlet adalah satu tanggapan yang salah kerana setiap orang memerlukan aktiviti olaraga untuk kekal sihat. Anda tidak perlu menjadi seorang atlet yang hebat untuk bersukan.
Salah satu perkara paling penting yang ingin saya tekankan ialah fizikal yang sihat akan membantu kecerdasan fikiran, psikologi dalaman pelajar dan mampu meningkatkan kemahiran interaksi sosial serta keyakinan dalam diri pelajar.
Banyak kajian saintifik telah membuktikan bahawa orang yang aktif secara fizikal bukan sahaja lebih sihat, tetapi juga mampu melakukan lebih baik pada ujian keupayaan kognitif atau intelektual.
Jika kita bercakap tentang organ intelek kita iaitu otak, ia adalah sangat kompleks dan apa sahaja yang kita lakukan semuanya melibatkan fungsi otak. Kita memerlukan otak untuk setiap aktiviti yang kita lakukan.
Malangnya, kita sering terlupa untuk menjaga kesihatannya secara teratur. Otak memerlukan latihan dan rangsangan. Otak yang tidak terlatih akan menjadi tidak sihat dan menyebabkan masalah sering terlupa, tidak dapat menumpukan perhatian, tindak balas yang perlahan, susah untuk menghafal dan sebagainya
Bersukan adalah salah satu cara untuk memastikan otak kita aktif dan dirangsang. Ia juga dapat membantu perkembangan otak pelajar. Banyak kajian telah membuktikan bahawa penglibatan dalam sukan mampu meningkatkan aliran darah ke otak dan ini membantu mewujudkan lebih banyak hubungan antara saraf di dalam otak yang meningkatkan keupayaannya.
Selain itu, penyertaan dalam sukan boleh meningkatkan fungsi otak dan mengurangkan tekanan, dan beberapa kajian telah mencadangkan bahawa mengambil bahagian dalam sukan pasti membantu anda mengekalkan tumpuan dan kemahiran pemikiran kritikal anda. Maka bersukanlah denga napa cara sekalipun.