ADVERTISEMENTspot_img

Madius Tegaskan Komitmen Tuntutan 40% Hak Sabah, Seru Himpunan Aman

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, sambil menolak gesaan agar beliau meletakkan jawatan berhubung isu berkenaan.

Madius, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata beliau menghargai pandangan yang dikemukakan oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Eldridge Laurence Timis, namun tidak dapat memenuhi gesaan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih atas saranan yang diberikan, namun dengan penuh hormat saya tidak mampu menurutnya dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memohon maaf sekiranya pendekatan perjuangannya dalam isu tuntutan hak Sabah itu menyinggung mana-mana pihak, sambil menegaskan bahawa usaha tersebut bukan bersifat peribadi.

“Perjuangan ini bukan untuk melawan sesiapa, sebaliknya demi memastikan hak Sabah yang telah termaktub dalam Perlembagaan dilaksanakan dengan adil dan bermaruah,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan tersebut berlandaskan peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipersoalkan dari segi legitimasi.

Sehubungan itu, Madius mengajak orang ramai untuk hadir ke Padang Merdeka, di sini, petang ini bagi menyatakan sokongan secara aman terhadap tuntutan berkenaan.

“Kita turun bukan untuk menentang mana-mana pihak, tetapi untuk menuntut hak Sabah,” katanya.

Terdahulu, Eldridge dilaporkan menggesa Madius dan Datuk Ewon Benedick mempertimbangkan peletakan jawatan susulan polemik berterusan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang masih belum dimuktamadkan.

Eldridge

Dalam kenyataannya, Eldridge berkata kegagalan mencapai penyelesaian konkrit dalam rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah menimbulkan kekecewaan rakyat, selain mempersoalkan keberkesanan peranan kedua-dua pemimpin tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa proses rundingan teknikal antara kedua-dua pihak merupakan pendekatan terbaik setakat ini, khususnya dalam memuktamadkan formula serta jumlah bayaran berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Eldridge turut berpandangan bahawa isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu diselesaikan secara tuntas demi kepentingan rakyat Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN