ADVERTISEMENTspot_img

Lima Rumah Hangus Dijilat Api di Kampung Apin-Apin Awal Pagi

Musnah dijilat api

KENINGAU: Sebanyak lima buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Apin-Apin, awal pagi tadi.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 7.06 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.

Pasukan bomba yang diketuai oleh Komander Operasi, Selverinus Sixtus Geoffrey tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan beberapa struktur kediaman serta sebuah kedai runcit.

“Kebakaran melibatkan lima rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus, sebuah rumah tidak kekal tambahan turut musnah sepenuhnya, selain sebuah rumah separuh kekal terbakar 60 peratus dan sebuah kedai runcit mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus,” menurut kenyataan itu.

Turut terjejas dalam kejadian tersebut ialah enam buah kenderaan yang terbakar sepenuhnya, terdiri daripada dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona serta empat buah motosikal.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera water tanker serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja memadam bara api selesai dijalankan.

Seramai 10 anggota dari BBP Keningau terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah water tanker dan sebuah unit EMRS.

Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam insiden berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN