Robert (dua dari kiri) bersama rombongan ketika menyerahkan katil boleh laras kepada seorang pesakit terlantar di Kampung Baginda.
KENINGAU: Seramai lima orang pesakit terlantar yang sedang terlantar di rumah akibat hilang keupayaan bergerak masing-masing menerima katil boleh laras.
Mereka masing-masing dari Kampung Tigot, Kampung Baginda Ulu, Kampung Tuntumulud, Kampung Tangkungon dan Kampung Takad.
Bantuan berkenaan diserahkan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, Datuk Robert Tawik bersama Pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Keningau, kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Bingkor dan Pejabat ADUN.
Bantuan katil boleh laras berkenaan adalah merupakan kolaborasi antara ADUN Bingkor, Jabatan Perkhidmatan Kebajkan Am bersama PETRONAS yang mana sasaran adalah kepada warga yang terlantar di rumah melalui permohonan yang telah dibuat sebelum ini.
Datuk Robert berkata bahawa beliau akan terus mengambil berat akan permasalahan rakyat dan sentiasa berusaha membantu dengan mencari jalan penyelesaian demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
Beliau turut meluangkan masa melawat dan menyantuni warga emas di Kampung Tigot dan Kampung Tangkungon.