Munirah…..“It is not fair to be given only five minutes
KUALA LUMPUR: Tempoh lima minit yang diperuntukkan untuk membahaskan isu Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Dewan Rakyat disifatkan tidak mencukupi bagi menghuraikan keseluruhan dapatan berkaitan projek itu dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkata tempoh berkenaan terlalu singkat, terutama bagi menjelaskan isu yang menurutnya perlu diketahui rakyat Sabah.
“It is not fair to be given only five minutes kerana rakyat Sabah berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika membahaskan LKAN 2/2026 di Dewan Rakyat semalam.
Isnaraissah berkata beliau turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan susulan sewajarnya diambil walaupun isu berkaitan Lebuhraya Pan Borneo telah ditegur sebanyak dua kali oleh Ketua Audit Negara.
Bagaimanapun, ketika meneruskan hujah berhubung perkara itu, beliau dimaklumkan bahawa tempoh perbahasannya telah tamat.
Beliau kemudian memohon untuk menghabiskan hujah yang telah disediakan, termasuk lima muka surat berkaitan isu berkenaan, namun diminta merumuskan perkara itu dalam satu perenggan.
“Saya akan cari medium lain untuk menerangkan isu Pan Borneo ini kepada rakyat Sabah,” katanya.
Dalam rumusannya, Isnaraissah menegaskan isu Lebuhraya Pan Borneo tidak seharusnya dijadikan pertikaian berdasarkan perbezaan politik kerana kemudahan itu digunakan oleh seluruh rakyat.
“Lebuhraya Pan Borneo bukanlah satu kemurahan hati, bukan satu sumbangan apatah lagi ihsan politik. Ia adalah tanggungjawab yang paling penting dijanjikan kepada kami rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata rakyat Sabah tidak mempersoalkan pihak yang memulakan atau mengambil alih projek berkenaan, sebaliknya mahu lebuh raya itu disiapkan demi memastikan perjalanan lebih selamat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri menerusi jaringan jalan raya yang baik.



