PENGHARGAAN…. Gapilin (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Hassan sambil diperhatikan oleh ahli ahli LGC.
LABUAN:Kelab Golf Labuan (LGC) telah menganjurkan Tournament Golf Malaysia Day 2021 bagi meraikan salah seorang perwira tanah air, Hassan Salati yang juga ahli LGC sepanjang hayat.
Presiden Kelab Golf Labuan, Datuk Gapilin Nasaruddin berkata, kejohanan tersebut bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan Hassan Salati dalam mempertahankan negara daripada ancaman komunis termasuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah.
“Sebagai memperingati jasa dan pengorbanan beliau, Kelab Golf Labuan menganjurkan Tournament Golf Malaysia Day ‘A Tribute To The Living Legend Our Nation Hero’ yang telah disertai seramai 60 peserta terdiri daripada ahli-ahli LGC dan juga Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan tersebut di Kelab Golf Labuan pada Khamis.
Pada majlis itu, Kelab Golf Labuan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Hassan.
Hassan Salati dilahirkan pada tahun 1933 di Hulu Selangor mula berkhidmat sebagai tentera pada tahun 1952 sebelum ditugaskan di Labuan pada tahun 1963 hingga tahun 1979 dan seterusnya menetap di Labuan sehingga hari ini.