Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai terjatuh
PUTATAN: Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai terjatuh ketika membaiki tangki air di sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Putatan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt. Sammy Newton berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung penemuan mangsa yang berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian kira-kira 7.35 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 42 tahun disyaki terjatuh semasa melakukan kerja membaiki tangki air di bahagian belakang rumah berkenaan. Siasatan lanjut turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Sammy turut menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik sebarang imej atau rakaman video kejadian di media sosial demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.



