31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki tempatan diusung turun selepas alami komplikasi ketika mendaki Gunung Kinabalu

Anggota Mosar dan Taman Kinabalu meletakkan mangsa keatas stretcher sebelum mengangkatnya turun ke Timpohon Gate

RANAU: Seorang pendaki lelaki tempatan berusia 34 tahun menjadi mangsa ke-18 alami komplikasi ketika mendaki Gunung Kinabalu bagi tahun ini selepas mengalami kesejukan melampau dan muntah-muntah di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Panalaban Gunung Kinabalu, kira-kira jam 2.55 petang.


“Kami menerima panggilan melalui Talian Balai dan sepasukan 10 pasukan mencari dan menyelamat (Mosar) Gunung Kinabalu diketuai Pegawai Operasi, PBB Jayrell Tony bergegas ke lokasi kejadian.


“Apabila pasukan tiba di lokasi, kami mendapati terdapat seorang pendaki lelaki mengalami kesejukan melampau dan muntah-muntah semasa perjalanan turun dari puncak Gunung Kinabalu.

“Pasukan MoSAR bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robertson Strecher.


“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Ambulans KKM dan dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.


Menurut Ridwan, kes pada Isnin menjadi kes ke-5 bagi bulan Jun tahun ini, dan ke-18 bagi tahun 2024.

Pada Januari, tiga pendaki mengalami pelbagai kecederaan ketika mendaki Gunung Kinabalu manakala pada Februari (2), Mac (2), April (0) dan Mei (6) kes serupa direkodkan.

Beliau mengulangi nasihatnya kepada semua pendaki yang akan datang supaya mengambil penilaian serius terhadap kesihatan mereka sebelum mendaki Gunung Kinabalu.

Beliau berkata perlu ada persiapan mental dan fizikal, dan hanya bawa barang yang sesuai dan perlu sahaja.

Beliau turut menasihati pendaki yang mendaki Gunung Kinabalu supaya lebih berhati-hati semasa cuaca tidak menentu sekarang kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding cuaca biasa.

“Sentiasa mendaki dalam kumpulan, jangan berjalan sendirian dan pastikan anda memberi perhatian kepada nasihat pemandu kami.

“Ini amat penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN